SINGAPURA:Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan seorang rakyat Malaysia berusia 36 tahun, merupakan antara tujuh kes import COVID-19 yang telah diumumkan pada Sabtu.

Diletakkan sebagai kes 58,239, beliau merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia.

Beliau merupakan antara lima yang tidak begejala dan telah dikesan daripada saringan dan pemerhatian kementerian itu, manakala dua lagi merupakan mereka yang bergejala.

Kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu menyatakan kesemua kes import itu telah diletakkan di bawah Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura

Singapura melaporkan tujuh kes baru semalam dengan kesemuanya kes import menjadikan jumlah keseluruhan kepada 58,054.

Sehingga kini Singapura telah mengklasifikasikan 1,238 sebagai kes import, 2,270 kes komuniti dan 54,501 kes pekerja tinggal di asrama pekerja

Kluster Westlite Toh Guan Dormitory di Toh Guan Road East, telah ditutup pada Sabtu, selepas tiada lagi kes baru selepas tempoh inkubasi 28 hari.

Kesemuanya, 57,968 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 34 kes yang disahkan masih berada di hospital namun tiada berada di unit rawatan rapi.

Sementara 24 yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini 28 orang maut akibat komplikasi COVID-19 di republik itu, dengan dua yang pertama dilaporkan pada 21 Mac.

-- BERNAMA