PERDANA Menteri Britain Boris Johnson memaklumkan, beliau optimis bahawa sekatan di negara itu akan dilonggarkan dalam masa terdekat.

Namun, beliau enggan memberi jaminan bahawa sekatan yang dikuatkuasakan kini bukanlah yang terakhir.

“Tidak, saya tidak boleh memberi jaminan, kerana kita berdepan dengan keadaan semula jadi, dengan penyakit yang boleh bermutasi dan berubah.

“Tetapi saya yakin, optimis berkenaan dengan sekatan yang akan dilonggarkan susulan pemberian vaksin. Saya akan merencanakan semula pada 22 Februari ini.

"Dan saya juga berharap kita akan boleh bergerak ke hadapan dan membuka semula beberapa sektor ekonomi tetapi saya tidak boleh beri jaminan tetap yang kita tidak akan berdepan kesukaran sama,” katanya di London pada Isnin.

Untuk rekod, Britain sudah memberikan dos pertama vaksin COVID-19 kepada lebih 15 juta rakyatnya.

Namun, pihak berkuasa kesihatan menyuarakan kebimbangan kemungkinan vaksin tidak akan berkesan terhadap beberapa siri varian baharu termasuk yang pertama dikesan di Afrika Selatan.