PANEL penasihat bagi Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengesyorkan penggunaan vaksin COVID-19 buatan Moderna untuk tujuan kecemasan.

Keputusan ini bakal memberi pilihan kedua bagi rakyat AS dalam usaha mencegah wabak itu selepas vaksin Pfizer dan Biontech diluluskan minggu lalu.

Pengundian jawatankuasa mendapat 20 undi menyokong dan tiada yang membantah, dengan satu tidak mengundi.

Mereka bersetuju bahawa vaksin tersebut mempunyai lebih banyak manfaat berbanding risiko bagi individu berusia 18 tahun ke atas.

Vaksin Moderna akan mula diedarkan sejurus selepas mendapat kelulusan akhir oleh FDA.

Sejumlah 5.9 juta dos telah dibekalkan bagi gabenor-gabenor negeri dan sedia untuk dihantar ke seluruh negara.

Berbanding vaksin Pfizer, vaksin moderna tidak perlu disimpan dalam suhu ekstrem.

Pihak berkuasa AS menjangkakan sejumlah 40 juta dos Pfizer dan Moderna akan tersedia menjelang hujung tahun.

Kedua-dua vaksin telah dibuktikan 95 peratus berkesan dalam mencegah penyakit COVID-19.