SHANGHAI: Shanghai mengambil langkah agresif dalam menangani jangkitan COVID-19 apabila memisahkan ibu bapa dengan anak mereka yang dijangkiti virus itu.

Menurut laporan Reuters, kanak-kanak perlu dihantar ke tempat ditetapkan dan orang dewasa ke pusat kuarantin serta tidak dibenarkan menemani anak-anak mereka.

Antara lain ia menyebut, kesemua kanak-kanak yang disahkan positif COVID-19 akan ditempatkan di kemudahan kesihatan Shanghai di Jinshan.

Tular di media sosial gambar dan video yang disiarkan menunjukkan bayi dan kanak-kanak menangis apabila berada di pusat berkenaan.

Bagaimanapun, Pusat Klinikal Kesihatan Awam Shanghai berkata, gambar dan video yang beredar di internet bukanlah "kemudahan kuarantin bayi Jinshan" tetapi merupakan adegan yang diambil ketika hospital itu memindahkan wad pediatriknya ke bangunan lain untuk menghadapi peningkatan bilangan pesakit kanak-kanak COVID-19.

Seorang pegawai kesihatan Shanghai berkata minggu lalu, hospital yang merawat kanak-kanak positif COVID-19 mengekalkan komunikasi dalam talian dengan ibu bapa mereka.

Dalam sesetengah kes, kanak-kanak seawal usia 3 bulan dipisahkan daripada ibu menyusu mereka, menurut catatan dalam kumpulan WeChat hospital kuarantin yang dikongsi dengan Reuters.

Di dalam satu bilik, terdapat dakwaan lapan kanak-kanak tanpa kehadiran orang dewasa.

Dalam kes lain, lebih 20 kanak-kanak dari tadika Shanghai berusia 5 hingga 6 tahun dihantar ke pusat kuarantin tanpa ibu bapa mereka.

Sejak wabak terbaharu Shanghai bermula kira-kira sebulan lalu, pihak berkuasa telah melaksanakan perintah berkurung terhadap 26 juta penduduknya dalam proses dua peringkat yang bermula pada Isnin lalu.

Konsulat asing Amerika Syarikat, Perancis dan Itali telah memberi amaran kepada rakyat mereka di Shanghai bahawa perpisahan keluarga boleh berlaku apabila pihak berkuasa China melaksanakan sekatan COVID-19.

Shanghai pada Sabtu melaporkan 6,051 kes COVID-19 tanpa gejala tempatan dan 260 kes bergejala untuk 1 April.