BANGKOK:Thailand bercadang menerima kemasukan pelancong perniagaan jangka pendek bagi merangsang kembali ekonomi negara berkenaan yang terjejas teruk kesan penularan pandemik COVID-19.

Jurucakap kerajaan Anucha Buraphachaisri berkata kerajaan juga melihat kepada keperluan membenarkan kedatangan kumpulan perniagaan serta pelabur ke Thailand untuk urusan perniagaan.

"Mereka adalah pelancong perniagaan jangka pendek. Oleh itu, seharusnya ada langkah-langkah khas untuk mereka. Agensi berkaitan akan menyediakan langkah-langkah berkenaan (untuk pelancong perniagaan jangka pendek) bagi mengekang penularan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) Jeneral Somsak Rungsita akan mempengerusikan satu mesyuarat membincangkan mengenai perkara berkenaan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.

Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelancong perniagaan jangka pendek termasuk keputusan ujian saringan COVID-19 adalah negatif dalam tempoh 72 jam sebelum memasuki Thailand, memiliki insuran perubatan untuk COVID-19 dengan kadar perlindungan minimum US$100,000, menjalani ujian saringan di pintu masuk, dan mempunyai aplikasi pengesan sepanjang mereka tinggal di negara itu.

Sejak Julai lepas, Anucha berkata CCSA meluluskan kemasukan 11,000 warga asing terdiri daripada ahli perniagaan dan pemegang permit kerja ke Thailand, yang mana kesemua mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di lokasi alternatif kuarantin (ASQ) di hotel.

Sementara itu, Thailand merekodkan lima kes baharu COVID-19 dan tiada kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan keseluruhan kes berjumlah 3,590 dengan 59 kematian.

Lima kes terbaharu itu membabitkan seorang kru kabin dalam penerbangan sewaan dari Portugal ke India dan Malaysia sebelum mendarat di Thailand pada 30 Sept.

Kes lain adalah seorang wanita warga Thailand yang tiba dari Jepun, dua India dan seorang Bahrain.

-- BERNAMA