BANGKOK:Seorang pekerja pusat perjudian haram di wilayah Rayong menjadi mangsa ke-61 yang maut akibat COVID-19 di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam Satit Pitutacha berkata lelaki berusia 45 tahun itu didapati positif virus berkenaan semalam.

"Mangsa yang mempunyai masalah jantung, meninggal dunia di hospital hari ini," menurut catatannya di laman Facebook rasminya hari ini.

Satit berkata sekurang-kurangnya 85 kes COVID-19 telah direkodkan ada kaitan dengan pusat perjudian haram itu setakat ini.

Semalam, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kes indeks pusat perjudian haram itu dipercayai wanita berusia 55 tahun yang positif COVID-19 dan kemudian menyebarkan virus itu kepada kontak rapatnya.

Pihak berkuasa kesihatan awam menghadapi kesulitan mengesan kontak rapatnya kerana ramai yang enggan tampil untuk menjalani ujian kerana bimbang tindakan akan diambil terhadap mereka.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 6,285 kes COVID-19.

-- BERNAMA