BANGKOK: Thailand melaporkan kluster varian Omicron pertama di wilayah Kalasin dengan sekurang-kurangnya 22 jangkitan baharu dikesan daripada kluster ini.

Beliau berkata pasangan yang telah lengkap vaksinasi itu diuji negatif COVID-19 sebaik tiba pada awal Disember. Mereka kemudiannya mengalami gejala dan disahkan positif.

"Kemudian, mereka telah diuji positif untuk varian Omicron," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Menantu mereka berusia 22 tahun yang tinggal di Udon Thani juga diuji positif varian Omicron selepas mengunjungi pasangan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Suakit Sirilak berkata kira-kira 100 kontak rapat pasangan tersebut sedang menjalani kuarantin.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada terdapat kemungkinan kluster lain.

"Sehingga kini, Thailand telah melaporkan 205 kes Omicron, kebanyakannya melibatkan ketibaan asing," katanya.

Thailand melaporkan penularan tempatan pertama kes Omicron pada Isnin melibatkan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang diuji positif selepas dijangkiti daripada suaminya warga Colombia yang pulang dari Nigeria pada akhir November.

Dewan Bandaraya Bangkok membatalkan semua acara sambutan Tahun Baharu untuk membendung penularan kes Omicron.

Bagaimanapun, acara ambang tahun baharu dan pertunjukkan bunga api anjuran pusat beli-belah tetap diadakan tetapi pengunjung perlu mengemukakan bukti vaksinasi dan keputusan ujian antigen.

-- BERNAMA