BANGKOK: Pelancong yang mengunjungi Thailand termasuk dari China tidak perlu melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas, dalam usaha negara ini menarik lebih ramai kedatangan pelawat bagi memulihkan industri pelancongan.

Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata walaupun China mengalami lonjakan kes COVID-19 namun semua pelancong yang memasuki negara ini sewajarnya menerima layanan yang saksama.

Beliau berkata pelancong hanya perlu menunjukkan bukti sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19.

"Thailand merupakan destinasi pelancongan utama. Oleh itu, langkah-langkah ini dilihat perlu.

"Tiada peraturan khas kepada pengembara yang memasuki negara ini kerana semua pengembara yang memasuki Thailand mesti menerima layanan sama rata," katanya pada sidang media di sini semalam.

Anutin berkata pengembara yang berhasrat melancong ke Thailand mesti menunjukkan bukti insurans.

"Ini bagi memastikan mereka berupaya untuk menampung kos rawatan andai ujian saringan mereka di Thailand didapati positif," katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Sukan dan Pelancongan.

China yang sekian lama melaksanakan dasar sifar COVID-19, baru-baru ini mengumumkan akan melonggarkan peraturan kuarantin bermula 8 Jan.

Berikutan peningkatan kes COVID-19 di China, beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan Perancis telah mengenakan peraturan baharu yang mewajibkan pelancong dari China menunjukkan keputusan ujian negatif COVID-19.

Anutin berkata kementerian juga bersetuju bahawa pelancong yang ingin mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 di Thailand boleh berbuat demikian.

Bagaimanapun, pelancong perlu menanggung kos memandangkan kerajaan Thailand tidak mempunyai polisi vaksinasi percuma kepada pelancong.

Thailand berharap sektor pelancongan negara ini akan pulih pada 2023 dan mengunjurkan sekurang-kurangnya 20 juta pelancong akan menjana pendapatan sebanyak 2.38 trilion baht (AS$64.5 bilion) tahun ini, tidak termasuk pelancong China.

Selepas China melonggarkan kebanyakan sekatan COVID-19 mulai 8 Jan, Thailand menyemak semula sasarannya kepada sekurang-kurangnya 25 juta pelancong termasuk pelancong China.

-- BERNAMA