MELBOURNE: Negeri Victoria di Australia berjaya melepasi sasaran 70 peratus jumlah populasi dewasa divaksin COVID-19.

Ini sekali gus mengangkat bandar utamanya, Melbourne keluar dari perintah darurat yang dilaksanakan selama 77 hari sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri, Daniel Andrews yang mendedahkan negeri itu kini merekodkan kadar 73.7 peratus populasi divaksin setakat ini melibatkan mereka yang berumur 16 tahun ke atas.

Dalam sidang media di Melbourne pada Sabtu, Andrews turut mengesahkan sebanyak 69,694 ujian COVID-19 telah dijalankan bagi pemantauan situasi semasa pandemik.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, Victoria merekodkan 1,935 kes baharu COVID-19 dengan 11 kematian.