POLITIK
Rayuan bukan penentuan kesetiaan saya - Hishammuddin

Hishammuddin berkata keahliannya dalam UMNO tidak berkait dengan kedudukan atau jawatan, sebaliknya melibatkan prinsip integriti, keikhlasan dan keadilan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi gambaran kekal dengan pendirian untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung penggantungannya selama enam tahun dalam parti tersebut.
Ringkasan AI
- Hishammuddin kekal dengan pendirian untuk tidak merayu penggantungan enam tahun keahlian UMNO, kerana berpegang kepada prinsip integriti, keikhlasan dan keadilan, serta mendakwa proses penggantungan tidak mengikut prosedur.
- Beliau menegaskan bahawa kesetiaan kepada perjuangan UMNO tidak bergantung kepada jawatan atau status, sebaliknya ditentukan oleh nilai dan prinsip yang dipegang sejak sekian lama.
- Hubungan beliau dengan rakyat dan akar umbi UMNO kekal harmoni, dan beliau terus diterima dalam masyarakat walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam parti, sambil menyerahkan kepada kepimpinan UMNO untuk menjawab usul penarikan balik penggantungan yang dibawa oleh Bahagian Sembrong.
"Ya, merayu dengan menulis surat memang ramai ingat senang, tetapi bagi pejuangan saya selama ini ia bukan sekadar untuk menjadi ahli kembali. Ini tentang memegang kepada nilai dan prinsip. Bukan saya sahaja, tetapi juga pemimpin-pemimpin UMNO yang terdahulu daripada kita. Ini yang sukar untuk saya kompromi.
"Hubungan saya dengan rakyat tidak pernah bergantung kepada jawatan, mahupun status dan keahlian. Semalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan mereka.
"Keputusan ini mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita. Mereka telah membuat keputusan dan sekarang saya terus langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip. Ini perjuangan nilai dan makna. Rayuan bukan penentuan kepada kesetiaan saya. (Tetapi) prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, MKT UMNO yang bermesyuarat memutuskan boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu memberi ruang kepada ahli yang dikenakan tindakan untuk mengemukakan rayuan kepada MKT.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menambah penggantungan yang dibuat oleh UMNO terhadapnya pada 2023, juga didakwa tidak mengikut prosedur.
Jelas bekas Menteri pertahanan itu, beliau tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan, membela diri dan dibicara di hadapan Jawatankuasa Disiplin parti.
Ujar beliau lagi, sehingga hari ini juga UMNO masih belum memaklumkan secara rasmi dan bertulis mengenai sebarang kesalahan spesifik yang didakwa dilakukan olehnya.
"Ada yang bertanya dengan saya mengapa saya tidak merayu? Saya tidak merayu kerana saya tahu, saya tidak diadili dengan sebaiknya. Saya enggan menggadai prinsip yang saya pegang. Malah, ada yang kata saya terhegeh-hegeh dan bodoh sombong," kata beliau lagi.
Hishammuddin berkata, usul agar penggantungannya ditarik balik telah dikemukakan oleh UMNO Bahagian Sembrong dan menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk memberi penjelasan kepada mereka.
Namun begitu, beliau menegaskan keputusan yang dibuat MKT tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya dan kesetiaan terhadap perjuangan UMNO tidak pernah berubah.
"Saya tahu di mana saya berdiri, dan rakyat di Sembrong juga tahu siapa saya. Alhamdulillah, Sembrong kekal harmoni dan kesetiaan saya terhadap perjuangan UMNO tidak pernah berubah.
"Syukur, saya terus diberikan layanan yang baik dari seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang termasuk daripad akar umbi UMNO sendiri. Saya tetap diundang ke majlis-majlis dan diterima seperti sebahagian daripada mereka," kata Hishammuddin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami