Warga kulit hitam dan Asia di England yang dijangkiti COVID-19 mempunyai kadar kematian sebanyak 50 peratus, berdasarkan satu kajian rasmi yang dijalankan.

Perkara itu mendorong kerajaan United Kingdom (UK) untuk merangka pelan melindungi masyarakatnya yang paling berisiko.

Sementara itu, satu laporan oleh Public Health England (PHE) menguatkan kajian sebelumnya yang menunjukkan kumpulan etnik minoriti lebih berisiko dijangkiti virus itu.

Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock mengatakan bahawa Menteri Kesetaraan, Kemi Badenoch akan melihat dan meneliti hasil kajian berkenaan.

Laporan terbaharu itu mendakwa, kumpulan etnik Bangladesh mempunyai risiko kematian dua kali ganda daripada mereka yang berketurunan Inggeris.

Etnik lain adalah Cina, India, Pakistan dan Asia.

Turut mempunyai risiko kematian antara 10 sehingga 50 peratus lebih tinggi daripada mereka yang dalam kumpulan kulit putih Britain adalah etnik Caribbean atau etnik kulit hitam yang lain.

Kajian terbaharu itu mengukuhkan lagi statistik yang dikeluarkan Office for National Statistics (ONS) bulan lalu.

Sementara itu, parti buruh pembangkang meminta kerajaan bertindak segera untuk menangani masalah itu.

Ahli Parlimen, David Lammy berkata, ramai keluarga daripada etnik minoriti di negara itu kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Ketua Penguji Britain, John Newton mendakwa walaupun laporan menunjukkan hasil yang lebih buruk bagi kumpulan minoriti, ia mungkin tiada kaitan dengan etnik tetapi lebih kepada pekerjaan mereka.