HONG KONG: Ribuan orang di Hong Kong secara sukarela menawar diri menjaga hamster yang diabaikan pemilik asal akibat panik apabila kerajaan memerintahkan pelupusan haiwan peliharaan itu atas risiko jangkitan COVID-19.

Pihak berkuasa pada Selasa lalu mengarahkan pelupusan 2,000 hamster dari kedai haiwan peliharaan dan ruang simpanan, selepas mengesan kes penularan koronavirus ke atas seorang pekerja di sebuah kedai yang menjual haiwan itu, lapor Channel NewsAsia.

Di kedai yang bernama Little Boss itu, 11 ekor hamster dilaporkan telah diuji positif COVID-19.

Saintis di seluruh dunia dan pihak berkuasa kesihatan Hong Kong bagaimanapun berkata, masih belum cukup bukti bahawa haiwan memainkan peranan utama dalam merebaknya wabak itu kepada manusia.

Namun, atas polisi sifar toleransi ke atas COVID-19, Setiausaha Kesihatan, Sophia Chan, pada Selasa berkata, pihaknya tidak boleh menolak sebarang kemungkinan jangkitan, oleh itu pihak pemerintah tidak perlu berjaga-jaga.

Tidak lama selepas itu, petugas kesihatan dalam sut hazmat dilihat memasuki kedai-kedai haiwan peliharaan di seluruh bandar raya, khususnya lokasi kuarantin.

Stesen penyiaran RTHK melaporkan sesetengah pemilik hamster dilihat menyerahkan haiwan kesayangan mereka kepada fasiliti pemerintah, sementara di media sosial telah terbentuk satu kumpulan baharu untuk mengenal pasti pemilik yang mahu melepaskan hamster mereka.

Penyelia kumpulan Cute Hamster di aplikasi media sosial yang dkenali dengan nama Ocean, 29, berkata, kumpulan itu telah dihubungi oleh hampir 3,000 orang yang sanggup menjaga sementara haiwan yang hendak dibuang itu.

"Ramai pemilik haiwan peliharaan tidak faham sepenuhnya tentang risiko sebenar, dan bertindak menyerahkan hamster mereka," ujarnya.

Bowie, 27, yang menjadi sukarelawan dalam kumpulan itu, kini menjadi 'tuan' bagi dua ekor hamster baharu.

"Ini mengarut," kata Bowie yang sudahpun memiliki tiga hamster sendiri. "Haiwan juga ada nyawa berharga. Hari ini mungkin hamster atau arnab... entah esok kucing dan anjiing pula menerima nasib sama."