KUALA LUMPUR: Dua kertas siasatan membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Khamis lalu untuk tindakan lanjut.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar ketika dihubungi pada Sabtu.
Azam sebelum ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu bagi membantu siasatan berkaitan laporan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah berhubung pemilikan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad.
Pada masa sama, polis turut merekodkan keterangannya berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa serta ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei.
Keterangan beliau direkodkan selama kira-kira dua jam bermula jam 9 pagi.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihak AGC masih meneliti kedua-dua kertas siasatan berkenaan dan belum membuat sebarang keputusan setakat ini.
Beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk melakukan penelitian menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat.
“Biarlah perkara ini diteliti sepenuhnya terlebih dahulu. Selepas proses penelitian selesai, keputusan yang bersesuaian akan dibuat,” katanya.