Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 112 spesies asing ditemukan di perairan Jepun

 generic Mediterranean Mussels
Spesies berkenaan termasuk krustasea seperti ketam, moluska, patogen dan parasit yang boleh menjejaskan ikan serta kerang-kerangan ternakan. - Gambar hiasan/Freepik

TOKYO: Sekurang-kurangnya 112 spesies asing memasuki perairan Jepun sejak akhir 1800-an, dengan sebahagiannya dilaporkan merebak ke arah utara yang dipercayai berpunca daripada pemanasan global, menurut hasil kajian sekumpulan ahli biologi marin, lapor Kyodo News.

Menurut kumpulan itu, spesies berkenaan termasuk krustasea seperti ketam, moluska, patogen dan parasit yang boleh menjejaskan ikan serta kerang-kerangan ternakan, malah dalam sesetengah kes menyebabkan kematian secara besar-besaran.

Kumpulan penyelidik itu turut menegaskan keperluan memperhebat usaha menangani pemanasan global.

Penemuan itu menyerlahkan kesan yang semakin meningkat akibat organisma marin asing terhadap ekosistem dan akuakultur Jepun, ketika langkah menangani isu itu dilihat ketinggalan susulan suhu laut yang semakin panas membantu penyebaran sesetengah spesies ke arah utara.

Profesor Emeritus Biogeografi di Universiti Nara, Keiji Iwasaki, melahirkan kebimbangan kerana hanya sebilangan kecil organisma asing disenaraikan sebagai spesies asing invasif yang tertakluk kepada sekatan import dan pengangkutan, sambil menambah Jepun lambat mengambil langkah yang diperlukan.

Daripada 112 spesies itu, sebanyak 77 dipercayai dibawa masuk ke Jepun secara tidak sengaja, termasuk menerusi air balast yang digunakan untuk menstabilkan kapal atau melalui lekatan pada badan kapal. Kira-kira 70 peratus daripada 77 spesies itu dianggap telah bertapak di Jepun.

Kajian itu diterajui anggota Persatuan Bentologi Jepun bersama ahli biologi marin dari seluruh negara, dengan lebih 7,400 rekod dikumpulkan daripada 36 individu antara 2022 hingga 2023.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement