KERAJAAN China meningkatkan kawalan di beberapa wilayah dan melaksanakan perintah berkurung de facto susulan lebih 100 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan untuk enam hari berturut-turut.

Tindakan pihak berkuasa adalah bagi memastikan gelombang baharu tidak berlaku, lagi-lagi menjelang musim percutian Tahun Baharu China yang menjangkakan berlakunya pergerakan oleh jutaan rakyat republik itu untuk pulang ke kampung halaman.

China melaksanakan perintah berkurung di sekurang-kurangnya 11 kawasan di tiga wilayah termasuk di Hebei, Heilongjiang dan Jilin, selain melancarkan program ujian saringan besar-besaran.

Reuters melaporkan terdapat lebih 29 juta rakyat yang terlibat di bawah perintah berkurung di bandar Gongzhuling di wilayah Jilin sahaja.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional, 109 kes positif COVID-19 baharu pada Sabtu dan Ahad lalu, dimana dalam keseluruhan 93 kes penularan tempatan, 54 telah dilaporkan di Hebei.

Meskipun kawalan pergerakan diperketatkan, Perbadanan Keretapi China menjangkakan sekitar 296 juta penumpang sepanjang musim percutian Tahun Baharu China, berbanding 410 juta penumpang pada 2019.

China, negara di mana tercetusnya pandemik pada akhir 2019, kini melaporkan 89,336 kes kumulatif positif COVID-19 dan 4,635 kes kematian.