JAKARTA:Indonesia mencatatkan 3,807 kes jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini 474,455 kes.

Kebimbangan kini tertumpu kepada beberapa siri perhimpunan pemimpin Front Pembela Islam (FPI) Rizieq Shihab yang kembali ke Indonesia dari Arab Saudi sejak 10 Nov lepas, yang dikhuatiri mencetuskan kluster baharu COVID-19.

Setakat ini Pemerintah Jakarta mengenakan denda sebanyak Rp50 juta kepada Rizieq Shihab kerana tidak mematuhi prosedur kesihatan COVID-19 semasa mengadakan majlis pernikahan anak perempuannya, Shafira Najwa Shihab pada Sabtu lepas, yang dihadiri hampir 10,000 penyokongnya.

Warga maya, media Indonesia dan aktivis masyarakat turut mezahirkan kekesalan terhadap penyokong pemimpin FPI itu yang berhimpun dalam beberapa program keramaian seperti menyambut kepulangan Rizieq Shihab di Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada 10 Nov lepas, berhimpun di majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran FPI di Jakarta dan program ceramah di Megamendung, Kabupaten Bogor pada Jumaat lepas.

Rizieq Shihab, 55, pulang ke Indonesia selepas lebih tiga tahun berada di Arab Saudi.

BACA: Selepas tiga tahun, kepulangan Rizieq Shihab disambut ribuan penyokongnya

BACA: Ribuan penyokong berkerumun: 'Denda 50 juta Rupiah pada Rizieq Shihab tidak cukup!'


Beliau sebelum ini dikaitkan dengan beberapa dakwaan menghina pemimpin Indonesia (namun tiada sebarang pendakwaan ke mahkamah setakat ini), dan beliau adalah penyokong kuat Anies Baswedan ketika pemilihan Gabernor Jakarta pada 2017.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan turut dipanggil Polis Jakarta bagi membantu siasatan kerana didapati hadir dalam program Rizieq Shihab.

Kes positif COVID-19 yang masih terus meningkat di Indonesia, mencetuskan kebimbangan ramai pihak berikutan siri perhimpunan melibatkan Rizieq Shihab, yang dihadiri puluhan ribu penyokongnya itu.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 64,928 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 97 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 15,393 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 120,670 dengan tambahan 1,037 kes baharu, manakala provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 4,041 orang.

-- BERNAMA