PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden berkata beliau tidak berani berjanji bila pandemik COVID-19 akan berakhir di negara itu.

Katanya, apa yang boleh dijanjikan adalah, pentadbiran beliau akan berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan pemulihan Amerika Syarikat (AS) daripada wabak tersebut.

AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan kes kematian dan kes positif COVID-19 tertinggi di dunia.

"Di sebalik kemajuan itu, kita masih berada dalam keadaan pandemik. Strain baru pula muncul. Dalam beberapa hari, kita akan melebihi angka 500,000 kematian rakyat Amerika akibat COVID-19.

"Angka itu hampir 70,000 lebih banyak daripada jumlah yang maut dalam Perang Dunia Kedua dalam tempoh empat tahun. Semua ini adalah satu kesedihan, penyiksaan, kesakitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kilang Pfizer yang mengeluarkan vaksin COVID-19 di Kalamazoo, Michigan, pada Jumaat.

Ketika ini, cuaca sejuk melampau di beberapa negeri, menyulitkan proses penghantaran vaksin di negara itu.

Ini dirumitkan lagi dengan kemunculan pelbagai varian baharu, yang mungkin mengurangkan keberkesanan vaksin sedia ada. 



"Menyediakan vaksin dan mendapatkan bekalan vaksin tidak sama dengan memberinya kepada seseorang. Ia satu usaha yang berterusan.

"Sehingga Julai, kita jangkakan kita sudah mendapat 600 juta dos. 29 Julai ialah tarikh yang kita jangkakan tetapi ia mungkin berubah.

"Lihat saja kepada keadaan cuaca sekarang, ia melambatkan proses pengedaran vaksin. Tetapi, saya percaya keadaan akan semakin pulih hujung tahun ini.

"Dan, diharap, Krismas tahun ini tidak seperti tahun lalu. Tetapi saya tidak boleh berjanji kepada anda. Tambahan pula, terdapat strain baru sekarang.

"Kita tak tahu apa akan jadi pada masa akan datang, dari segi kadar pengeluarannya. Tetapi, kita sedang lakukan semua yang menurut sains, patut kita lakukan," kata Biden.

Amerika Syarikat kini mempunyai lebih 28 juta kes positif dan hampir 2.5 juta kematian akibat COVID-19.