KANADA pada Rabu menjadi negara pertama di dunia yang membenarkan penggunaan vaksin Pfizer COVID-19 terhadap remaja berusia 12 sehingga 15 tahun.

Penasihat Kanan di Kementerian Kesihatan Kanada, Supriya Sharma berkata, vaksin Pfizer yang dihasilkan dengan kerjasama BioNTech itu selamat dan berkesan kepada kumpulan usia yang lebih muda.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS), langkah serupa dijangka diambil Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS tidak lama lagi.

Dalam berkembangan berasingan, pihak berkuasa Kanada melaporkan kematian ketiga akibat pembekuan darah selepas menerima vaksin AstraZeneca.

Ia melibatkan seorang lelaki berusia 60an yang tinggal di wilayah New Brunswick.

Bagaimanapun, ketua pegawai perubatan kesihatan di New Brunswick, Jennifer Russell menyatakan, wilayah itu akan tetap menggunakan vaksin tersebut.

Dua kes terdahulu dilaporkan di Alberta (4 Mei) dan Quebec (27 April).

Russel menjelaskan kepada pihak media, risiko pembekuan darah tetap minimum jika dibandingkan dengan risiko komplikasi akibat COVID-19.

Kerajaan Kanada membeli puluhan juta dos vaksin namun masih dikritik susulan kadar inokulasi yang perlahan di 10 wilayah di negara itu.

Alberta akan menjadi wilayah pertama menawarkan vaksin COVID-19 kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas bermula 10 Mei.

Kira-kira 20 peratus daripada 1.24 juta kes COVID-19 di Kanada dilaporkan dalam kalangan mereka yang berusia bawah 19 tahun.

Kanada setakat ini mencatatkan 24,396 kematian akibat COVID-19.