UNITED Kingdom (UK) merekodkan kes baharu tertinggi sejak pandemik bermula, iaitu dengan pertambahan 129,471 jangkitan harian, pada Selasa.

Statistik ini memecah rekod kes tertinggi pada Jumaat lalu dengan 122,186 kes harian.

Perkembangan ini menyusul sehari selepas Perdana Menteri Boris Jonson memaklumkan kerajaan tidak akan mengenakan sekatan baharu bagi membendung jangkitan.

Namun, menteri kabinetnya menggesa orang ramai menyambut tahun baharu dengan berhati-hati dan memberi amaran peraturan baharu akan diperketat jika sistem kesihatan semakin lumpuh.

Menteri-menteri negara itu sedang menunggu lebih banyak bukti tentang bagaimana perkhidmatan kesihatan negara itu mampu menangani kadar jangkitan yang tinggi.

Ia selepas data awal pada minggu lepas menunjukkan, varian Omicron membawa risiko kemasukan ke hospital yang lebih rendah.

Data terkini menunjukkan, jumlah pesakit di hospital di UK meningkat kepada 9,546, berbanding 6,902 minggu lalu.

Ia dilihat jauh lebih rendah daripada rekod pada Januari lalu yang mencecah 34,000.