Ringkasan AI
- Institusi amal Islam digesa memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan profesionalisme bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi tersebut.
- Penekanan terhadap integriti dan akhlak penting untuk meningkatkan piawaian serta kualiti pengurusan institusi amal Islam di Malaysia.
- Konvensyen Institusi Amal Islam 2026 membincangkan aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan perundangan melibatkan pelbagai sektor berkaitan.
PETALING JAYA: Institusi amal Islam di negara ini perlu memperkasakan tadbir urus, ketelusan dan profesionalisme bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata penekanan terhadap aspek integriti dan akhlak juga penting dalam usaha meningkatkan piawaian serta kualiti pengurusan institusi amal Islam.
“Kita bukan hanya ingin menggandakan keuntungan, kebajikan dan sebagainya tetapi pada masa sama sama kita ingin memastikan ketelusan, profesionalisme, integriti, akhlak dan keseluruhan aspek yang penting bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap institusi Islam di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Institusi Amal Islam (KIAI) 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Wisma Ungku Abdul Aziz di sini hari ini.
Zulkifli berkata pelbagai program latihan telah dilaksanakan bagi meningkatkan profesionalisme institusi amal Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan koperasi.
Konvensyen anjuran bersama Yayasan Infaq ANGKASA dan Bahagian Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai sektor termasuk gerakan koperasi, institusi kewangan Islam, NGO, badan kebajikan dan ahli akademik.
Konvensyen bertemakan “Teguh Tatakelola, Teguh Organisasi” itu turut membincangkan aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan perundangan institusi amal Islam.
-- BERNAMA