KERAJAAN Britain memperluaskan program ujian saringan COVID-19 harian untuk mengurangkan ketidakhadiran pekerja yang disebabkan oleh jumlah kes baharu yang tinggi dan peraturan kuarantin kendiri yang ketat.

Ratusan ribu pekerja Britain menjadi kontak rapat individu positif COVID-19 dan perlu dikuarantin 10 hari di bawah garis panduan kesihatan awam, mengakibatkan kekurangan kakitangan di sektor kritikal.

Peraturan ini akan berakhir pada 16 Ogos bagi pekerja yang telah lengkap dua dos vaksin, dan sebelum tarikh itu, sekiranya majikan mereka dipilih untuk menganjurkan ujian saringan yang dikendalikan kerajaan.

Ketika ini, kuarantin kendiri biasanya diperlukan walaupun jika seseorang individu itu telah diuji negatif.

Minggu lalu program ini diumumkan untuk 800 tempat kerja dalam industri makanan, sektor pengangkutan dan penguatkuasaan seperti polis, bomba dan pengawal sempadan.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan menyatakan, pihaknya akan melakukan saringan harian di 1,200 tempat kerja lagi termasuk pangkalan tentera, penjara dan kilang farmasi.

"Sama ada pengawal penjara yang melapor diri untuk bertugas, pengutip sampah yang menjaga kebersihan jalan kita atau pekerja sektor tenaga yang menyalakan lampu kita, semua pekerja sektor kritikal ini sedia berkhidmat untuk kita selama ini," kata menterinya Sajid Javid said.

Bagaimanapun, program saringan harian baharu itu tidak akan tersedia untuk kebanyakan majikan sektor swasta.

Pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama bulan Julai perlahan susulan ketiadaan pekerja dan pasar raya memberi amaran tentang cabaran ketiadaan pekerja.

Data terbaru menunjukkan bahawa Britain mungkin telah melepasi puncak jangkitan dalam gelombang kali ini walaupun terdapat kelonggaran dalam peraturan COVID-19 di England pada 19 Julai.