BERLIN: Kira-kira 15,800 orang maut akibat cuaca panas di Jerman sehingga pertengahan Ogos tahun ini, menurut anggaran yang dikeluarkan Institut Robert Koch (RKI) pada Khamis, dengan 9,600 daripada jumlah kematian itu dikaitkan dengan cuaca panas ekstrem pada akhir Jun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
RKI, pihak berkuasa kawalan dan pencegahan penyakit Jerman, dalam laporan mingguan terbaharunya memaklumkan bahawa 4,000 lagi kematian dikaitkan dengan suhu yang sangat tinggi dalam dua minggu pertama Ogos. Laporan itu merangkumi tempoh dari 6 April hingga 16 Ogos.
Tahun ini mencatatkan jumlah kematian berkaitan cuaca panas yang jauh lebih tinggi berbanding mana-mana tahun dalam tempoh 10 tahun sebelumnya. Angka tertinggi sejak 2016 sebelum ini direkodkan pada 2018 dengan kira-kira 9,500 kematian berkaitan cuaca panas, diikuti sekitar 7,600 pada 2019.
Angka bagi tahun-tahun sebelumnya berbeza sedikit berbanding data RKI yang dikeluarkan sebelum ini. Seorang jurucakap berkata keadaan itu disebabkan anggaran berkenaan dikira semula setiap bulan, termasuk bagi tahun-tahun sebelumnya.
RKI memaklumkan angkanya merupakan anggaran konservatif, yang bermakna jumlah keseluruhan kematian akibat cuaca panas tahun ini mungkin lebih tinggi.
Ketua Eksekutif Perubatan Persatuan Antara Disiplin Jerman untuk Rawatan Rapi dan Perubatan Kecemasan (DIVI), Uwe Janssens baru-baru ini berkata banyak kes tidak direkodkan sebagai berkaitan cuaca panas kerana sijil kematian menyenaraikan punca seperti kegagalan organ.
Menurut RKI, dalam sesetengah kes, cuaca panas secara langsung menyebabkan kematian, contohnya akibat strok haba. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, mereka yang terjejas meninggal dunia akibat gabungan cuaca panas dan masalah kesihatan sedia ada.
Lebih separuh daripada kematian akibat cuaca panas tahun ini, iaitu kira-kira 7,960, membabitkan mereka yang berusia 85 tahun ke atas, menurut RKI. Kira-kira 3,900 kematian membabitkan mereka dalam kumpulan umur 75 hingga 84 tahun, sekitar 2,440 membabitkan mereka yang berusia antara 65 hingga 74 tahun, manakala 1,470 lagi membabitkan mereka yang berusia bawah 65 tahun.
-- BERNAMA-dpa