Skip to main content

Dunia

Data peribadi 70,000 penduduk di Singapura bocor dalam persekitaran awan kendalian IBM

https://amanz.my/2026563755
- Gambar hiasan/Amanz
Advertisement

ISTANBUL: ]ata peribadi kira-kira 70,000 individu di Singapura terdedah dalam satu insiden keselamatan siber yang melibatkan persekitaran pengkomputeran awan yang diuruskan oleh IBM, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Jumaat.

Lapor Anadolu Ajansi, siasatan awal SLA mendapati berlaku "akses tanpa kebenaran terhadap satu set data yang diwujudkan khusus untuk tujuan pembangunan dan ujian vendor" dalam persekitaran awan yang diuruskan IBM bagi Sistem Pendaftaran Automatik Hak Milik Singapura (STARS) dan Sistem eLodgment.

Menurut SLA, set data yang diwujudkan pada 1998 dan dikemas kini secara berkala itu sepatutnya hanya mengandungi rekod olok-olok dan data yang dinyahpengenalan, namun sebaliknya mengandungi nama, nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC) serta alamat kira-kira 70,000 individu.

"Pihak berkenaan sepatutnya telah menyahpengenalan maklumat itu, namun ia tidak dilakukan. Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan bagaimana perkara itu boleh berlaku," menurut SLA.

SLA menegaskan persekitaran ujian yang terjejas itu berasingan daripada sistem operasinya, sambil menambah bahawa tiada hubungan atau kompromi terhadap sistem operasi STARS, ELS mahupun sistem SLA yang lain. Rekod pemilikan hartanah dan rekod penyerahan dokumen juga kekal selamat serta tidak terjejas.

SLA memaklumkan individu yang terjejas sedang dimaklumkan, manakala siasatan dijalankan bersama IBM, Agensi Keselamatan Siber Singapura dan Agensi Teknologi Kerajaan. Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi turut dimaklumkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement