Ibu bapa kepada dua kanak-kanak yang menghidap leukemia sanggup 'berhabis' semata-mata kerana ingin mengadakan majlis resepsi perkahwinan 'istimewa' khusus buat anak mereka bagi mengumpul dana untuk rawatan.

Wu Tianyi dan Yichen, masing-masing berusia dua tahun menerima rawatan di hospital sama dan sedang menunggu pembedahan pemindahan tulang sum-sum, lapor The Beijing News.

Keluarga Tianyi telah membelanjakan kira-kira 300,000 yuan (RM184,000) dan memerlukan 500,000 (RM306,000) yuan lagi untuk rawatan.

“Kami telah membelanjakan semua wang dan juga meminjam. Kami betul-betul tiada lagi wang, jadi kami melakukan ini untuk mendapat perhatian dan bantuan orang ramai.

“Wu Tianyi akan menerima pemindahan sum-sum tulang April ini,” kata Wu Laixin, bapa kepada kanak-kanak lelaki itu.

Lebih 10 orang hadir pada majlis resepsi tersebut dengan ibu kepada kedua-dua ‘mempelai’ memberi ucapan dan berkongsi kisah pengalaman berhadap dengan situasi mereka.

Walaupun sekadar gimik untuk mendapatkan dana perubatan, keluarga Wu Tianyi tetap berharap dalam melihat anak lelakinya itu berkahwin suatu hari nanti.

Wu Tianyi yang didiagnos leukaemia sejak Julai lalu telah menerima rawatan di lima hospital berbeza.