JAKARTA: Berikutan pemberlakuan pembatasan kegiatan masyarakat (PPKM) darurat untuk menyekat penularan COVID-19, kerajaan Indonesia meminta umat Islam di negara itu tidak menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid atau kawasan terbuka.

Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin berkata, umat Islam yang tinggal di kawasan yang melaksanakan PPKM atau di Malaysia dikenali sebagai perintah kawalan pergerakan (PKP) serta di daerah zon merah digesa untuk melaksanakan solat berkenaan di rumah.

Dalam masa sama, Ma’ruf juga menggesa ibadah korban dilakukan di rumah penyembelihan haiwan sementara pengedaran daging dilakukan dengan menerapkan protokol kesihatan secara ketat.

Sementara itu, Menteri Agama Indonesia, Yaqut Choli Qoumas pula menegaskan, keputusan tidak membenarkan solat di masjid dibuat kerajaan bukan untuk menghalang umat Islam beribadah.

"Tetapi semata-mata untuk melindungi masyarakat daripada bahaya penularan COVID-19," kata Yaqut yang juga menggesa umat Islam melaksanakan takbir raya di rumah masing-masing.

Indonesia ketika ini sedang bergelut dengan krisis kesihatan ekoran penularan varian Delta yang semakin mengganas dengan kes jangkitan COVID-19 tinggi berbanding negara lain di seluruh dunia sejak beberapa minggu lepas.

Pakar kesihatan menggelar Indonesia sebagai pusat wabak baharu COVID-19.

Pada Ahad, negara itu melaporkan 44,721 kes dengan 1,093 kematian.