Kurang 24 jam selepas menyambut kedatangan tahun baharu 2020, situasi di Hong Kong bertambah buruk apabila ribuan penunjuk perasaan bertindak menyekat beberapa jalan teurtama Hennessy Road.

Kumpulan penunjuk perasaan dilihat cuba menyekat kenderaan polis daripada melalui jalan dengan meletakkan besi penghadang, troli, batu bata dan payung.

Perhimpunan pro-demokrasi yang disertai puluhan ribu peserta termasuk keluarga yang membawa anak-anak itu, dilihat tertumpu di pusat komersial perniagaan termasuk di seperti kawasan beli-belah popular.

Ia menjadikan perhimpunan terbesar pernah diadakan di wilayah itu sejak enam bulan lalu.

Perhimpunan anjuran Kumpulan Hak Asasi Manusia itu menuntut lima perkara terhadap kerajaan di wilayah itu, namun yang ditegaskan adalah tentang penarikan balik pindaan undang-undang ekstradisi Hong Kong.

BACA: Hong Kong akhiri 2019 dengan siri protes, mulakan 2020 dengan perarakan besar-besaran

Perarakan yang bermula dengan aman itu kemudian bertukar kecoh apabila pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata kepada peserta protes di daerah Wanchai.

Para penunjuk perasaan barisan hadapan segera membentuk tindak balas pertahanan dengan melempar bom petrol dan juga membuka payung.

Di lokasi tertentu, peserta penunjuk perasaan bertindak lebih agresif dengan menconteng grafiti dan juga merosakkan kemudahan di bank.

Bank yang menjadi sasaran ialah kumpulan perbankan HSBC, kerana peserta protes mendakwa bank itu menyahaktif akaun yang mengumpulkan dana pergerakan demonstrasi itu. Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan pihak bank tersebut.

Hong Kong sudah menjadi medan tunjuk perasaan anti-China yang berpanjangan sejak lebih enam bulan lalu dan kini memasuki tahun baharu 2020.