DUNIA
Demonstrasi Indonesia: Apa jadi jika suara seniman dibungkam?

Orang ramai ketika hadir pada acara Seni Lawan Tirani yang berlangsung di Plaza Ismail Marzuki, Jakarta Pusat, baru-baru ini. - Foto Astro AWANI
DALAM suasana tegang pasca demonstrasi besar di ibu kota, suara seniman tampil ke hadapan sebagai instrumen penting untuk mengekspresikan keresahan rakyat.
Koordinator Lapangan gerakan Seni Lawan Tirani dari Dewan Kesenian Jakarta, Iman Fattah menegaskan bahawa seniman tidak boleh dipinggirkan dalam wacana demokrasi.
“Kami menggagas para seniman untuk berkumpul, menyuarakan keresahan, dan menunjukkan bahawa seniman juga punya perspektif yang harus didengar. Kondisi Indonesia hari ini tidak baik-baik saja. Data boleh diperdebatkan, tapi keresahan rakyat tidak boleh dinafikan,” katanya.
Menurut Iman, seni merupakan bahasa universal yang mampu menyatukan masyarakat di tengah kepelbagaian bangsa.“Politikus sering gagal mempersatukan kita, malah ada kalanya memecah belah. Tetapi seniman berbeza — seni mampu menyatukan, kerana semua orang boleh merasai dan mencintai seni.
"Sejak lahir, seni sudah ada dalam hidup kita. Ia menjadi nadi kebudayaan, bahasa bersama. Justeru seni sangat penting untuk menyatukan pelbagai elemen masyarakat dalam menyuarakan kegelisahan dan harapan,” tambahnya.

Menurut Iman, seni merupakan bahasa universal yang mampu menyatukan masyarakat di tengah kepelbagaian bangsa. - Foto Astro AWANI

Bagi Kunto Aji, seniman memiliki tanggungjawab moral untuk menjadikan karya seni dan platform mereka sebagai saluran suara rakyat. - Foto Astro AWANI
Beliau turut mengingatkan bahawa sejak era Reformasi 1998, seniman memainkan peranan penting dalam menggerakkan perubahan politik dan menjaga roh demokrasi.
“Apabila wujud naratif yang menggambarkan Indonesia tidak aman, itu hanya menambah rasa gelisah rakyat. Hakikatnya keresahan ini berpunca daripada ulah segelintir pejabat dan kebijakan yang tidak bertanggungjawab.
"Demokrasi tanpa seniman ibarat kebebasan yang terhalang. Seniman adalah garda terdepan penjaga kebebasan,” tegas Iman.

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI
Sementara itu, penyanyi Kunto Aji turut menyuarakan keresahan sama, khususnya terhadap sikap elit politik yang dianggap tidak peka terhadap penderitaan rakyat.
“Situasi ekonomi berat, PHK berlaku di mana-mana, tapi wakil rakyat justru terlihat bersenang-senang. Itu membuat rakyat makin kecewa. Yang kita perlukan adalah wakil rakyat yang benar-benar merakyat,” katanya.
Bagi Kunto Aji, seniman memiliki tanggungjawab moral untuk menjadikan karya seni dan platform mereka sebagai saluran suara rakyat.
“Seniman itu bergerak dengan hati, dengan kompas moral. Karya seni boleh menyentuh lebih dalam. Kalau kita punya platform besar, gunakan untuk kepentingan bersama. Kerana diam bukan pilihan,” jelasnya.
Mereka ditemui dalam acara Seni Lawan Tirani di Plaza Ismail Marzuki, Jakarta Pusat, baru-baru ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami