Skip to main content
Advertisement

Dunia

AS, Denmark, Greenland tandatangani perjanjian keselamatan Artik

US President Donald Trump, Danish Prime Minister Mette Frederiksen and Greenland Prime Minister Jens-Frederik Nielsen show signed documents during a trilateral signing event regarding a deal on Greenland's security, during the 81st United Nations General Assembly (UNGA), in New York City, US, September 22, 2026. REUTERS/Kylie Cooper TPX IMAGES OF THE DAY
Dari kiri, Donald Trump, Mette Frederiksen dan Jens-Frederik Nielsen menunjukkan dokumen yang ditandatangani pada majlis menandatangani perjanjian di luar UNGA ke-81 di New York City, AS, 22 Sept 2026. REUTERS
Advertisement

GENEVA/BRUSSELS: Amerika Syarikat (AS), Denmark dan Greenland pada Selasa menandatangani perjanjian di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi memperkukuh keselamatan di Artik dan Atlantik Utara, lapor Anadolu Ajansi.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Presiden AS Donald Trump menyifatkannya sebagai "amat penting bagi Eropah dan Amerika Syarikat serta semua pihak, termasuk Greenland."

Beliau berkata perjanjian itu telah "lama diusahakan" dan meramalkan "hubungan jangka panjang yang sangat baik" antara pihak terbabit.

Ketika berucap di UNGA sebelum majlis menandatangani perjanjian itu, Trump berkata perjanjian berkenaan memberikan AS "kawalan kekal terhadap keselamatan dan semua keperluan lain" wilayah itu.

"Kami akan mempunyai keupayaan menyeluruh untuk melakukan apa yang perlu bagi mempertahankan benua Amerika serta Eropah dan tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata tiada negara seteru AS akan dibenarkan mewujudkan kehadiran tentera di Greenland atau membuat pelaburan sensitif di wilayah itu tanpa "kelulusan bertulis secara khusus" daripada Washington.

Trump turut mengumumkan rancangan untuk memperluas kehadiran tentera AS di Greenland.

"Kami akan segera memulakan proses membangunkan kehadiran tentera yang besar di lokasi yang sesuai. Kami akan membina dua pangkalan tentera yang sangat besar," katanya.

Menurut Trump, usaha memperluas kehadiran tentera AS di Artik dan Atlantik Utara akan melindungi AS dan Eropah serta "memperkukuh NATO dengan ketara."

Sebelum perjanjian itu ditandatangani, Trump berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan rakyat Denmark dan Greenland, sambil berkata pihak terbabit telah "benar-benar membina hubungan erat" sepanjang proses berkenaan.

Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen dan Perdana Menteri Greenland Jens-Frederik Nielsen mengadakan sidang media selepas majlis itu, menurut penyiar awam DR.

Perjanjian berkenaan membolehkan Washington mewujudkan sistem pertahanan peluru berpandu yang dikenali sebagai "Golden Dome" di Greenland, namun masih belum jelas sama ada ia akan melibatkan penempatan peluru berpandu AS di pulau itu.

"Belum ada keputusan mengenai bentuk dan kandungan Golden Dome, jadi masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa mengenainya," kata Frederiksen.

Beliau ditanya sama ada perjanjian itu akan menamatkan gesaan berulang kali Trump supaya Greenland dimiliki atau dikawal oleh AS.

"Kami berpegang kepada perjanjian yang telah dimeterai. Perjanjian itu dengan jelas menyatakan bahawa pihak-pihak berkenaan menegaskan semula kedaulatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Denmark serta mengiktiraf bahawa rakyat Greenland merupakan satu bangsa di bawah undang-undang antarabangsa yang mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri," kata Frederiksen.

Beliau menambah bahawa Denmark tidak dapat menjamin apa yang mungkin diperkatakan oleh pihak lain pada masa hadapan.

Nielsen berkata Greenland mengekalkan "garis merah" sepanjang rundingan dan mahu membina semula "kepercayaan bersama" dengan AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement