Skip to main content

Malaysia

Lebih 1,000 van persendirian di Kelantan disyaki angkut murid tanpa patuhi syarat - JPJ

Mohd Misuari (kiri) menunjukkan sebahagian van persendirian yang disita pada sidang media Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) dan Ops Patuh Deepavali 2026 di Ibu Pejabat JPJ, Panji hari ini. - Foto Bernama
Mohd Misuari (kiri) menunjukkan sebahagian van persendirian yang disita pada sidang media Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) dan Ops Patuh Deepavali 2026 di Ibu Pejabat JPJ, Panji hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Lebih 1,000 van persendirian di Kelantan dipercayai membawa murid sekolah tanpa mematuhi peraturan kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam.
  • JPJ Kelantan menyita sembilan van persendirian dan mengeluarkan 20 notis saman serta sembilan notis penyitaan dalam operasi di Kota Bharu.
  • Pemilik dan pemandu van diingatkan agar mematuhi syarat keselamatan, pelesenan dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mempunyai dokumen sah.
Advertisement

KOTA BHARU: Lebih 1,000 van persendirian di Kelantan dipercayai menjalankan perkhidmatan membawa murid sekolah tanpa memenuhi peraturan ditetapkan bagi kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata daripada jumlah itu, kira-kira 100 van dikesan beroperasi di sekitar Kota Bharu, dengan kebanyakannya berusia lebih 20 tahun.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kegiatan itu kerana penggunaan kenderaan persendirian bagi membawa murid sekolah secara komersial perlu mematuhi syarat pelesenan, permit serta aspek teknikal dan keselamatan yang ditetapkan.

Advertisement

“Susulan aduan orang awam, JPJ Kelantan menjalankan Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) di sekitar Kota Bharu pada 5 Nov lepas dan menyita sembilan van persendirian yang dikesan digunakan sebagai van sekolah tanpa mematuhi peraturan.

“Sebanyak 20 notis saman P22 turut dikeluarkan membabitkan 18 kesalahan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan dua kesalahan LKM tamat tempoh, selain sembilan notis penyitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JPJ di sini, hari ini.

Advertisement

Mohd Misuari berkata secara keseluruhan, sebanyak 29 tindakan penguatkuasaan direkodkan menerusi operasi berkenaan.

Beliau mengingatkan pemilik dan pemandu van supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan murid, termasuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mempunyai dokumen dan lesen yang sah.

Katanya, tindakan penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi melindungi nyawa penumpang, khususnya murid sekolah.

“Keselamatan penumpang, khususnya murid sekolah, bukan perkara yang boleh dikompromi,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement