Skip to main content
Advertisement

Dunia

AS, Denmark meterai perjanjian baharu bina dua pangkalan tentera di Greenland

US President Donald Trump shakes hands with Danish Prime Minister Mette Frederiksen as they attend a trilateral signing event with Greenland Prime Minister Jens-Frederik Nielsen (not pictured), regarding a deal on Greenland's security, during the 81st United Nations General Assembly (UNGA), in New York City, US, September 22, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Trump (kiri), berjabat tangan dengan Mette Frederiksen, ketika menghadiri majlis pemeteraian perjanjian tiga hala melibatkan Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland di New York. - Foto REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS), Denmark dan Greenland menandatangani perjanjian pertahanan baharu yang membenarkan Washington membina dua pangkalan tentera tambahan di Greenland, sekali gus menamatkan ketegangan yang berlarutan lebih setahun berhubung wilayah Artik tersebut.

Perjanjian itu dimeterai sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York oleh Presiden AS, Donald Trump, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, dan Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen.

Trump berkata AS akan memulakan proses memperkukuh kehadiran ketenteraannya di lokasi yang dipersetujui di Greenland.

Menurut teks perjanjian itu, AS dibenarkan mewujudkan dua kawasan pertahanan baharu di Narsarsuaq di selatan Greenland dan Mestersvig di bahagian timur wilayah berkenaan.

Narsarsuaq mempunyai akses pelabuhan air dalam serta landasan udara yang besar, manakala Mestersvig merupakan kawasan terpencil yang ketika ini digunakan oleh unit peronda laut Denmark.

Bagaimanapun, butiran teknikal dan kaedah pelaksanaan pangkalan berkenaan masih perlu dipersetujui bersama oleh ketiga-tiga pihak.

Perjanjian baharu itu turut mengemas kini perjanjian pertahanan yang ditandatangani antara Denmark dan AS pada 1951.

Selain pembinaan pangkalan baharu, Washington juga diberikan kebenaran untuk memodenkan dan memperluas operasi di Pangkalan Angkasa Pituffik yang telah lama beroperasi di barat laut Greenland.

Dokumen itu turut menetapkan bahawa mana-mana negara bukan anggota NATO tidak dibenarkan menubuhkan kemudahan ketenteraan berawak atau tanpa pemandu di Greenland, mahupun mengekalkan kehadiran tentera secara berterusan di wilayah berkenaan.

Frederiksen menyifatkan perjanjian itu sebagai satu pencapaian penting dalam kerjasama pertahanan yang telah terjalin selama puluhan tahun antara Copenhagen dan Washington.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian tersebut menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Kerajaan Denmark serta hak Greenland untuk menentukan masa depannya sendiri.

Sementara itu, Nielsen berkata perjanjian itu bukan sekadar melibatkan Greenland, tetapi turut mengambil kira kepentingan rakyat, hak penduduk tempatan dan pembangunan wilayah berkenaan.

Menurutnya, Greenland memainkan peranan penting dalam keselamatan Amerika Utara dan hubungan keselamatan rentas Atlantik ketika landskap keselamatan global semakin berubah.

Perjanjian itu juga mengesahkan Greenland akan terus berada dalam NATO sekiranya pulau berkenaan memperoleh kemerdekaan daripada Denmark pada masa hadapan.

Sebelum ini, Trump beberapa kali mencetuskan kontroversi apabila menyatakan hasrat untuk membeli atau mengambil alih Greenland atas alasan keselamatan negara serta kepentingan strategik wilayah itu.

Kenyataan tersebut mendapat bantahan daripada penduduk Greenland, kerajaan Denmark dan beberapa pemimpin Eropah yang menegaskan kedaulatan wilayah berkenaan tidak boleh dipersoalkan.

Greenland yang terletak di laluan strategik Artik turut memiliki simpanan besar mineral nadir bumi yang penting untuk pelbagai teknologi moden termasuk telefon pintar, bateri kenderaan elektrik dan sistem pertahanan.

NATO dalam reaksinya mengalu-alukan perjanjian baharu tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah yang dapat memperkukuh keselamatan, kestabilan serta kerjasama di rantau Artik yang semakin mendapat perhatian kuasa-kuasa besar dunia.

 

 

Must Watch Video

Advertisement