JABATAN Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat sama ada Deutsche Bank telah melanggar undang-undang rasuah atau pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berdasarkan laporan akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu, Deutsche Bank pernah terlibat mengumpul dana sebanyak AS$1.2 juta (RM4.9 juta) bagi 1MDB pada 2014.

Siasatan DOJ khususnya tertumpu kepada peranan yang dimainkan oleh Tan Boon-Kee iaitu bekas rakan sekerja Tim Leissner yang juga bekas Ketua Pegawai (CEO) Eksekutif Goldman Sachs mengenai 1MDB.

Boon-Kee meninggalkan Goldman Sachs untuk mengetuai bahagian perbankan Asia Pasifik di Deutsche Bank pada 2013 di mana beliau didakwa terlibat secara serius dengan 1MDB.

Berita tersebut dilaporkan susulan pengumuman oleh bank Jerman itu untuk memberhentikan 18,000 pekerjanya di seluruh dunia dalam satu pelan penstrukturan.

BACA: Penstrukturan semula: Deutsche Bank hapus 18,000 pekerjaan

Dalam satu kenyataan menerusi e-mel, Deutsche Bank memaklumkan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan dana itu.

“Seperti yang tertera dalam aduan pelucuthakan yang difailkan oleh DOJ, 1MDB telah bertindak salah nyata dan menyekat maklumat kepada pegawai Deustche Bank berkaitan dengan transaksi 1MDB,” kata bank tersebut kepada Reuters.

“Ia selaras dengan siasatan bank dalam hal ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Menurut laporan WSJ, aduan pelucuthakan oleh DOJ itu seringkali menggambarkan Deutsche Bank sebagai terperdaya oleh pegawai-pegawai 1MDB.

Laporan itu turut mendakwa Boon-Kee meninggalkan Deutsche Bank tahun lepas susulan laporan oleh WSJ dikeluarkan yang mengaitkan Boon-Kee dengan skandal rasuah mengenai 1MDB.

Seorang wakil daripada syarikat insurans FWD Group yang kini majikan kepada Boon-Kee berkata bahawa syarikat tersebut serta Boon-Kee enggan mengulas mengenai isu terbabit.