KUALA LUMPUR: Tokoh pembangunan perindustrian Pulau Pinang, Chet Singh, yang memainkan peranan penting dalam menjadikan negeri itu hab pembuatan elektronik utama negara, meninggal dunia pada usia 90 tahun, pada Selasa.
Pemergiannya dimaklumkan menerusi notis pengurusan jenazah yang dikongsikan oleh Gurdwara Sahib Bayan Baru di Facebook.
Chet merupakan Pengurus Besar pertama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan berkhidmat dari tahun 1971 hingga 1991.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan perindustrian serta bandar baharu termasuk Bayan Baru yang kemudiannya menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi utama negeri itu.
Beliau juga terlibat dalam penubuhan Penang Skills Development Centre (PSDC) bagi melatih tenaga kerja mahir untuk memenuhi permintaan sektor pembuatan yang berkembang pesat ketika itu.
Selepas bersara daripada PDC, Chet terus menyumbang kepada pembangunan negeri apabila dilantik sebagai penasihat khas kepada kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan Chet sebagai antara tokoh terbaik yang pernah dilahirkan oleh negeri itu.
“Beliau meninggalkan kesan yang amat besar terhadap landskap perindustrian Pulau Pinang,” katanya.
Lim turut mengimbau bagaimana Chet pernah meyakinkannya untuk meluluskan pembinaan sebuah gurdwara di Bayan Baru serta menyatakan harapan agar keluarga mendiang diberi kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di kediaman keluarga mendiang di Minden Heights bermula 9.30 pagi ini, sebelum upacara pembakaran dijalankan di Krematorium Batu Gantung pada jam 3 petang.