NEW MEXICO: Syarikat teknologi Meta diperintah membayar AS$375 juta dalam penalti sivil selepas juri di New Mexico mendapati syarikat itu mengelirukan pengguna mengenai keselamatan platformnya dan membenarkan wujudnya bahaya termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak.
Keputusan ini menandakan kali pertama Meta dipertanggungjawabkan melalui perbicaraan penuh berkaitan kesalahan yang berlaku di platformnya.
Advertisement
Peguam Negara New Mexico, Raul Torrez menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan penting untuk keluarga yang terjejas, sambil menuduh Meta mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan kanak-kanak.
Beliau berkata, eksekutif Meta mengetahui risiko terhadap kanak-kanak, menerima amaran dalaman pekerja sendiri namun tetap gagal mengambil langkah sewajarnya.
Tuntutan tersebut difailkan pada Disember 2023 susulan penyiasatan media yang mendedahkan bagaimana Facebook dan Instagram digunakan sebagai platform untuk memperdagangkan kanak‑kanak serta memudahkan aktiviti eksploitasi.
Juri bersetuju dengan dua dakwaan yang dibawa oleh negeri New Mexico di bawah Akta Amalan Tidak Adil, menjadikan jumlah penalti maksimum AS$5,000 bagi setiap pelanggaran — keseluruhan AS$375 juta.
Meta akan merayu, dakwa hujah pendakwa “sensasi”
Meta dalam kenyataannya menegaskan, ia tidak bersetuju dengan keputusan juri dan akan memfailkan rayuan.
Kata syarikat itu, ia telah melabur banyak bagi meningkatkan keselamatan pengguna, termasuk melindungi remaja dalam talian.
Keterangan dan dokumen yang diperoleh pihak pendakwa menunjukkan pekerja Meta dan pakar keselamatan luar telah berulang kali memberi amaran mengenai bahaya di platform syarikat itu.
Antara bukti yang dikemukakan termasuk penahanan tiga individu pada 2024 dalam operasi penyamaran dinamakan “Operation MetaPhile”, selepas mereka didapati menggunakan platform Meta untuk memancing mangsa kanak-kanak.
Mahkamah turut diberitahu bahawa keputusan Meta menyulitkan Messenger pada 2023 menghalang akses kepada bukti penting, kerana ciri tersebut digunakan pemangsa untuk menggroom dan berkongsi imej eksploitasi kanak-kanak.
Agensi penguatkuasaan undang-undang dan NCMEC turut memberi keterangan bahawa laporan kesalahan oleh Meta sering tidak membantu kerana terlalu banyak laporan tidak relevan dihasilkan oleh sistem AI, sekali gus menjejaskan siasatan.
Mulai 4 Mei, pihak pendakwa akan menuntut penalti tambahan serta memohon perintah mahkamah bagi memaksa Meta melaksanakan perubahan keselamatan seperti pengesahan umur yang lebih ketat, penyingkiran mangsa secara proaktif,
perlindungan lebih kuat untuk mengelak penyalahgunaan ciri penyulitan.
Dalam rakaman keterangan, Ketua Meta, Mark Zuckerberg dan Ketua Instagram, Adam Mosseri mengakui platform mereka tidak dapat mengelakkan risiko tertentu memandangkan jumlah pengguna yang besar, namun menegaskan syarikat telah melabur berbilion dolar untuk meningkatkan keselamatan, termasuk memperkenalkan Instagram Teen Accounts pada 2024.
Meta kini berdepan satu lagi saman besar di Los Angeles, melibatkan ratusan keluarga dan daerah sekolah yang mendakwa platform teknologi termasuk Snap, TikTok dan YouTube direka untuk menyebabkan ketagihan dan memberi kesan negatif kepada kesihatan mental remaja.
Snap dan TikTok telah mencapai penyelesaian, namun Meta dan YouTube terus mempertahankan diri di mahkamah. - Agensi