KUALA LUMPUR: Malam tadi, Fauziah Latiff tidak cuba menjadi sempurna. Beliau hanya memilih untuk menjadi jujur - dan kejujuran itulah yang membuatkan ribuan penonton terus setia, berdiri dan bertepuk tangan lebih lama daripada yang dijangka.
Dalam ketakutan, dalam permohonan maaf yang berulang-ulang, dan dalam nada suara yang kadangkala bergetar, lahirlah sebuah permulaan baharu.
Permulaan Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee bukan tentang menyaingi masa lalu, tetapi tentang berdamai dengan hari ini - dengan disiplin dan cinta pada seni yang tidak pernah luntur.
Berkali-kali sepanjang 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), penghibur berusia 55 tahun itu meluahkan rasa gusar dan takut.
Beliau secara terbuka mengakui konsert tersebut mungkin tidak mencapai ekspektasi segelintir pihak.
“Might not be perfect, tapi saya harap ia akan menjadi memorable untuk kita semua,” ujar Jee, merujuk kepada mutu persembahan yang dipertaruhkan pada malam penuh emosi itu.
Kejujuran tersebut menjadi nadi konsert yang meraikan empat dekad perjalanan seni penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu cinta, kepayahan dan kebangkitan jiwa.
Lagu pembukaan, Setiaku Korbankan, dipilih bukan sekadar sebagai nostalgia, tetapi sebagai pintu masuk kepada kisah seorang penghibur yang sedang melawan ketakutannya sendiri.
Dengan vokal terkawal dan penghayatan mendalam, Fauziah membawa penonton menyelusuri katalog lagu yang membesarkan namanya, antaranya Apa Sebenarnya, Tua Mengejar Kita, Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir - rangkaian balada yang membina emosi secara berperingkat dan berlapik.
Konsep persembahan tidak dibina atas keinginan untuk membuktikan kehebatan vokal semata-mata, sebaliknya, disusun mengikut kemampuan dan fasa kehidupan beliau hari ini.
Lagu-lagu mencabar seperti Enggan - yang jarang dipersembahkan secara terbuka - disampaikan dengan penuh berhati-hati, namun sarat emosi dan pengalaman.
Kesederhanaan jelas menjadi teras keseluruhan konsert. Daripada vokal, susunan muzik hingga persembahan pentas, Fauziah tidak cuba menutup kekurangan dengan gimik atau sensasi.
Tetapi di situlah profesionalisme beliau terserlah - kebolehan mengurus kelemahan dengan tertib dan matang.
Antara detik yang paling mengesankan ialah apabila penonton diajak menyanyi bersama menerusi Bukan Kemahuan Fikiran, diikuti rangkaian lagu yang kekal malar segar seperti Aku Masih Seperti Dulu, Kau Merubah Segalanya, Batas Menanti, Kenari, Dari Kaki Tangga ke Menara dan Yang Kau Lebih Bercinta — masing-masing membawa penonton pulang ke terowong masa yang penuh emosi.
Tidak dilupakan, karya ikonik seperti Dia, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan kemuncak malam menerusi Teratai Lagu Di Tasik Madu, yang sekali lagi membuktikan kekuatan emosi mengatasi tuntutan teknikal vokal.
Oh ya, 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert bertambah manis dengan gandingan duet Jee bersama Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta, sekali gus menghadiahkan momen nostalgia yang istimewa serta kenangan indah buat semua yang hadir.
Sementara, pada penghujung keramaian itu, saat menyedari beberapa baris akhir lagu Teratai Lagu Di Tasik Madu tertinggal, Fauziah dengan tenang meminta pengarah muzik, Chaan, mengulangi bahagian tersebut.
Detik itu mencerminkan profesionalisme sejati - bukan tunduk kepada emosi, tetapi memastikan kepercayaan penonton disempurnakan hingga akhir.
Kekuatan konsert ini turut dipacu oleh pasukan pemuzik iringan di bawah kendalian Chaan, yang berjaya menyusun dan mengubah gubahan lagu-lagu lama dengan cukup berimbang.
‘Rasa’ asal tidak dihilangkan, sebaliknya, disegarkan kembali dengan susunan muzik yang matang dan bersesuaian dengan kemampuan serta faktor usia Fauziah.
Usai konsert, ketika bertemu kumpulan media sambil bergenang air mata selepas menerima tepukan gemuruh, kata-kata pertama yang terucap daripada bibir Fauziah hanyalah: “Minta maaf ya kalau ada kurang.”
Namun hakikatnya, Fauziah Latiff tidak perlu meminta maaf. Beliau telah melunaskan tanggungjawab sebagai seorang penghibur dengan penuh kejujuran dan keberanian.
Lebih penting, Fauziah mengakui konsert malam tadi adalah satu permulaan — satu langkah awal untuk perjalanan yang lebih besar, didorong oleh semangat baharu dan sokongan luar biasa peminat.
Pujian wajar diberikan kepada penganjur konsert, Ideatelier, yang diasaskan oleh pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail, kerana berjaya mengangkat konsert ini dengan sentuhan eksklusif, tersusun dan berkelas.
Keberanian menganjurkan konsert yang berteraskan kejujuran seni, bukannya sensasi, merupakan satu kemenangan buat landskap hiburan tempatan.
Secara peribadi, dalam sesebuah penganjuran konsert, bukan keupayaan menyanyi seperti 20 atau 30 tahun silam yang harus dipertaruhkan - jika masih sama, itu bonus.
Bukan juga ego yang perlu kekal di puncak. Tetapi bagaimana seseorang penyanyi beradaptasi dengan perubahan; dari segi vokal, susunan muzik dan atmosfera pada malam kejadian.
Dan di situlah Fauziah Latiff menang. Kerana dalam dunia yang sering menuntut kesempurnaan, Fauziah memilih untuk menjadi jujur.
Dan kejujuran itulah yang membuatkan malam itu terasa paling manusiawi, paling dekat dan menggenggam hati!