Skip to main content

Malaysia

Polis tolak dakwaan berat sebelah dalam tindakan dua kes kemalangan

GEORGE TOWN, 23 April -- Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas majlis perasmian Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ayob Khan berkata setiap kes dinilai secara berasingan termasuk mengambil kira keadaan kesihatan dan usia individu terlibat sebelum tindakan seperti reman dibuat. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak dakwaan mengamalkan tindakan berat sebelah dalam dua kes kemalangan maut, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dakwaan itu tidak berasas kerana setiap tindakan diambil berdasarkan bukti, pertimbangan undang-undang dan keadaan kes.

Beliau berkata setiap kes dinilai secara berasingan termasuk mengambil kira keadaan kesihatan dan usia individu terlibat sebelum tindakan seperti reman dibuat.

“Kita tengok kes demi kes, seperti kes kemalangan itu, pemandu kereta berusia 72 tahun, mempunyai pelbagai penyakit dan sedang menjalani rawatan dialisis. Kalau direman, bagaimana dia hendak mendapatkan rawatan? Sebab itu kita bagi jaminan.

 “Kecuali kalau dia (suspek sesuatu kes) terlibat dalam kes bunuh, itu berbeza,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia di sini hari ini. 

Ayob Khan berkata situasi itu berbeza daripada kes seorang pemandu van didakwa melanggar kanak-kanak tahun dua hingga maut, yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. 

“Pemandu van itu sihat (dan) berusia 60 tahun. Kalau boleh reman, kita akan reman. Polis perlu menggunakan pertimbangan. Perkara sebegini kita akan menjalankan siasatan lengkap dari sudut bukti, tahap kecederaan, aspek kesihatan dan sebagainya. Kita tidak berat sebelah atau pilih kasih,” katanya.

Ayob Khan berkata walaupun suspek 72 tahun itu tidak direman namun siasatan tetap diteruskan dan tindakan polis dibuat secara profesional selain undang-undang tidak boleh hanya ditentukan berdasarkan persepsi masyarakat sebaliknya perlu berasaskan fakta serta bukti yang jelas.

Sebelum ini, timbul pertikaian di media sosial apabila pemandu Proton X70 yang didakwa merempuh penunggang motosikal hingga maut dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan manakala pemandu van itu ditahan reman.

-- BERNAMA

Must Watch Video