DUNIA
‘Ditempah sejak dalam kandungan’, sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa dibongkar polis Indonesia

Polis Indonesia berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan bayi rentas negara yang dipercayai telah menjual sekurang-kurangnya 25 bayi ke Singapura sejak tahun 2023. - Gambar hiasan
JAKARTA: Polis Indonesia berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan bayi rentas negara yang dipercayai telah menjual sekurang-kurangnya 25 bayi ke Singapura sejak tahun 2023.
Pihak berkuasa telah menahan 13 individu dalam serbuan di dua lokasi iaitu Pontianak dan Tangerang minggu ini, selain menyelamatkan enam bayi berusia sekitar setahun yang dipercayai hampir menjadi mangsa sindiket.
“Bayi-bayi ini ditempatkan terlebih dahulu di Pontianak untuk proses dokumen imigresen sebelum dihantar ke Singapura,” kata Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Barat, Surawan, kepada BBC News Indonesia.
BBC News telah menghubungi pihak polis Singapura dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura, namun belum menerima sebarang maklum balas.Menurut Surawan, sindiket itu menyasarkan ibu-ibu yang tidak mahu membesarkan anak – dengan beberapa kes bermula di platform Facebook sebelum perbualan beralih ke saluran peribadi seperti WhatsApp.
“Ada bayi yang sudah ‘ditempah’ sejak dalam kandungan,” jelas beliau.
“Selepas dilahirkan, kos bersalin ditanggung, pampasan diberikan dan bayi itu dibawa pergi.”
Sindiket ini didakwa terdiri daripada perekrut bayi, penjaga serta pihak yang menyediakan dokumen palsu seperti kad keluarga dan pasport.
Bayi-bayi yang diambil daripada ibu kandung kemudiannya dijaga selama dua hingga tiga bulan sebelum dibawa ke Jakarta dan kemudian ke Pontianak untuk proses dokumentasi.
Bayi-bayi tersebut dijual pada harga antara Rupiah 11 juta (RM3,100) hingga Rupiah 16 juta (RM4,500) setiap seorang, menurut polis.
Polis juga mendedahkan bahawa antara mereka yang ditahan memaklumkan seramai 12 bayi lelaki dan 13 bayi perempuan telah dijual - kebanyakannya berasal dari pelbagai daerah di wilayah Jawa Barat.
Tumpuan siasatan kini tertumpu kepada mengenal pasti individu yang menerima bayi-bayi berkenaan di Singapura.
“Kami akan semak data bayi yang telah berlepas, siapa yang mengiringi, bila mereka berlepas dan siapa yang mengambil mereka di sana,” kata Surawan kepada wartawan.
Polis percaya kebanyakan bayi terbabit telah menukar kerakyatan dan mereka kini sedang mengesan pasport serta dokumen pengenalan diri lain.
Surawan menjelaskan, setakat ini tiada kes melibatkan penculikan, sebaliknya, bayi diserahkan secara persetujuan antara ibu bapa kandung dan pihak sindiket.
Namun ada juga kes di mana ibu bapa membuat laporan kehilangan selepas tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa faktor kewangan menjadi punca utama ibu bapa bersetuju menjual anak, namun menegaskan mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Jika terbukti ada persetujuan antara ibu bapa dan sindiket, mereka boleh didakwa atas kesalahan melibatkan perlindungan kanak-kanak serta pemerdagangan manusia,” katanya lagi.
Pihak polis Indonesia kini telah meminta kerjasama Interpol dan pihak berkuasa Singapura bagi menjejaki ahli sindiket dan pembeli yang berada di luar negara.
Permohonan Red Notice juga bakal dikeluarkan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Ai Rahmayanti berkata, sindiket pemerdagangan bayi sering menyasarkan wanita yang berada dalam situasi terdesak – termasuk mangsa rogol, kehamilan luar nikah atau ditinggalkan pasangan.
Beliau menjelaskan, kebanyakan sindiket menyamar sebagai klinik bersalin atau rumah perlindungan sosial yang kononnya ingin membantu golongan ibu dan anak.
“Mereka guna bahasa yang nampak penyayang seperti ‘anda boleh melahirkan dan bawa bayi pulang’, tapi sebenarnya mereka tawar wang dan serah bayi secara haram,” katanya.
Menurut KPAI, kes seumpama ini kian meningkat. Pada tahun 2020, terdapat 11 kes pemerdagangan bayi direkodkan.
Jumlah itu melonjak kepada 59 kes pada tahun 2023, termasuk yang diselindungi atas nama ‘pengambilan anak angkat tidak sah.’
Tahun ini, antara kes yang dikendalikan melibatkan cubaan menjual bayi di Depok dan Bali. Harga bayi pula berbeza mengikut lokasi dan penampilan fizikal.
“Di Pulau Jawa harganya antara Rupiah 11 juta hingga Rupiah 15 juta, manakala di Bali boleh mencecah Rupiah 26 juta,” kata Ai Rahmayanti. - BBC
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami