awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
3,164 sekolah kurang murid dikesan setakat November 2025 - Wong
Perkemas pengurusan tanah perkuburan Islam demi kelestarian tanah wakaf - Raja Muda Perlis
Keputusan STAM diumum 5 Feb - KPM
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Dokumen DOJ dedah e-mel Epstein undang Putera Andrew bertemu wanita Rusia

Agensi
Agensi
31/01/2026
02:40 MYT
Dokumen DOJ dedah e-mel Epstein undang Putera Andrew bertemu wanita Rusia
Dokumen terbaharu yang didedahkan DOJ menunjukkan Jeffrey Epstein (kanan_ pernah menjemput seorang individu dipercayai Putera Andrew, Duke of York, untuk bertemu seorang wanita Rusia berusia 26 tahun.
WASHINGTON: Dokumen terbaharu yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menunjukkan mendiang pesalah seks, Jeffrey Epstein pernah menjemput seorang individu dipercayai Putera Andrew, Duke of York, untuk bertemu seorang wanita Rusia berusia 26 tahun.
Pendedahan itu berdasarkan beberapa e-mel yang ditandatangani dengan huruf “A”, bersama tandatangan yang kelihatan sebagai “HRH Duke of York KG”, yang dihantar pada Ogos 2010, iaitu dua tahun selepas Epstein mengaku bersalah atas kesalahan memujuk bawah umur.
Pertukaran e-mel tersebut berkemungkinan meningkatkan tekanan terhadap Mountbatten-Windsor, yang sejak sekian lama berdepan penelitian awam berhubung hubungan silamnya dengan Epstein.
BBC News memaklumkan pihaknya telah menghubungi Mountbatten-Windsor untuk mendapatkan maklum balas.
Beliau berulang kali menafikan sebarang salah laku.
Menurut e-mel bertarikh 11 dan 12 Ogos 2010 antara Epstein dan akaun bernama “The Duke”, Epstein menyatakan hasrat untuk memperkenalkan individu itu kepada seorang wanita Rusia berusia 26 tahun yang disifatkannya sebagai seseorang yang mungkin “seronok diajak makan malam.”
Epstein turut memaklumkan wanita berkenaan akan berada di London pada Ogos 2010.
Dalam jawapannya, “The Duke” menyatakan beliau akan berada di Geneva sehingga pagi 22 Ogos, namun “berbesar hati untuk bertemu” wanita tersebut, sebelum bertanya sama ada wanita itu membawa sebarang mesej daripada Epstein dan meminta butiran perhubungannya dikongsi.
Beliau turut bertanya sama ada terdapat “maklumat lain yang mungkin berguna untuk diketahui” mengenai wanita berkenaan.
Epstein kemudiannya membalas dengan menyatakan wanita itu “berusia 26 tahun, warga Rusia, bijak, cantik, boleh dipercayai dan ya, dia mempunyai e-mel anda.”.
Epstein disabitkan kesalahan pada 2008 kerana memujuk seorang gadis berusia 14 tahun di Florida dan menamatkan hukumannya pada Julai 2010, sebulan sebelum pertukaran e-mel tersebut.
BBC memaklumkan, ia belum dapat mengesahkan kesahihan e-mel berkenaan secara bebas.
Turut terkandung dalam kelompok dokumen terbaharu ialah satu lagi pertukaran e-mel bertarikh 27 September 2010 antara Epstein dan akaun “The Duke.”
Dalam e-mel itu, Epstein memaklumkan, beliau berada di London dan bertanya waktu sesuai untuk bertemu, sambil menyebut keperluan “masa peribadi.”
“The Duke” membalas bahawa beliau baru meninggalkan Scotland dan dijangka tiba sekitar jam 6 petang, sebelum mencadangkan makan malam di Istana Buckingham bagi memastikan privasi.
Epstein kemudiannya membalas ringkas: “bp please.”
Bagaimanapun, e-mel-e-mel tersebut tidak menunjukkan sebarang salah laku.
BBC sekali lagi memaklumkan pihaknya telah menghubungi Mountbatten-Windsor untuk mendapatkan maklum balas.
Satu lagi dokumen bertarikh 2020 menunjukkan permohonan rasmi pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menemu bual bekas putera itu, atas kepercayaan bahawa “Putera Andrew mungkin merupakan saksi dan/atau peserta dalam beberapa peristiwa yang relevan dengan siasatan yang sedang dijalankan.”
Dokumen itu turut menyatakan bukti dokumentari menunjukkan Putera Andrew mempunyai pengetahuan bahawa Ghislaine Maxwell merekrut wanita untuk terlibat dalam aktiviti seksual bersama Epstein dan lelaki lain, serta terdapat bukti beliau terlibat dalam salah laku seksual melibatkan salah seorang mangsa Epstein.
Namun, surat tersebut turut menegaskan bahawa Putera Andrew bukan sasaran siasatan ketika itu dan pihak berkuasa AS belum mengumpul bukti bahawa beliau melakukan sebarang jenayah di bawah undang-undang Amerika Syarikat.
Mountbatten-Windsor sebelum ini berulang kali menafikan semua dakwaan berkaitan Epstein dan menegaskan beliau tidak pernah “melihat, menyaksikan atau mengesyaki sebarang tingkah laku” yang membawa kepada penahanan dan sabitan Epstein.
Beliau turut berdepan dakwaan, yang dinafikannya, bahawa beliau melakukan serangan seksual terhadap Virginia Giuffre ketika remaja.
Dakwaan itu dikaitkan dengan kenyataan Giuffre bahawa beliau diperdagangkan oleh Epstein.
Pada 2022, Mountbatten-Windsor bersetuju membayar penyelesaian kewangan bagi menyelesaikan tuntutan sivil serangan seksual oleh Giuffre, yang didakwanya tidak pernah dikenalinya.
Dokumen terbaharu itu turut mendedahkan beberapa e-mel yang dipercayai antara Sarah Ferguson dan Epstein.
Dalam satu e-mel bertarikh 4 April 2009 yang ditandatangani “Love, Sarah, The red Head.!!”, Ferguson memaklumkan beliau akan tiba di Palm Beach dan bertanya sama ada sempat untuk minum teh bersama Epstein dalam tempoh singgah yang singkat.
E-mel itu turut membincangkan idea perniagaan syarikat Ferguson, Mother’s Army, dan beliau merujuk Epstein sebagai “rakan istimewa” serta menyifatkannya sebagai seorang legenda.
Ketika itu, Epstein masih berada di bawah tahanan rumah.
Dalam satu lagi e-mel pada Ogos 2009, Ferguson sekali lagi menghubungi Epstein berhubung penjenamaan “Sarah Ferguson Brand” dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjadi “abang yang sentiasa diimpikan.”
Bagaimanapun, e-mel-e-mel tersebut juga tidak menunjukkan sebarang salah laku.
BBC memaklumkan pihaknya telah menghubungi Ferguson untuk mendapatkan maklum balas.
Kesemua pertukaran e-mel ini merupakan sebahagian daripada lebih tiga juta halaman dokumen yang didedahkan kepada umum oleh Jabatan Kehakiman AS pada Jumaat lalu.
Pendedahan itu turut merangkumi lebih 2,000 video dan 180,000 imej, enam minggu selepas tarikh akhir yang ditetapkan di bawah undang-undang yang ditandatangani Presiden Donald Trump.
Sebahagian besar dokumen berkenaan telah disunting dengan ketara, termasuk fail yang memaparkan halaman yang dihitamkan sepenuhnya. - Agensi
Topic Berkaitan
#dokumen Epstein
#Putera Andrew
#wanita Rusia
#DoJ
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan