SEOUL: Mahkamah Seoul pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun tahun ke atas Don Spike, seorang komposer K-pop terkenal dan selebriti TV, atas tuduhan membeli dan menggunakan methamphetamine beberapa kali tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak perlu menjalani hukuman penjara kerana hukuman itu digantung selama lima tahun.

Lelaki berusia 46 tahun itu, yang nama sebenarnya Kim Min-su, ditahan di sebuah hotel di selatan Seoul tahun lepas atas tuduhan membeli methamphetamine bernilai 45 juta won (AS$36,037) dan berulang kali menggunakannya sendiri di hotel di Seoul atau bersama orang lain, lapor Yonhap.

Mahkamah Daerah Utara Seoul turut merampas sebanyak 39.9 juta won daripada komposer itu.

Don Spike memulakan kerjaya sebagai pemuzik keyboard kumpulan Position pada 1996 dan terkenal kerana terlibat dalam penerbitan "Miracles in December" (2013) oleh EXO dan "Islands" Super Junior (2014).

-- BERNAMA