Skip to main content

Malaysia

KKM siasat isu keracunan makanan sekolah di Kuala Langat

Dr Dzulkefly bercakap pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2026 di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 hari ini.  - Foto Bernama
Dr Dzulkefly bercakap pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2026 di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menyiasat kes keracunan makanan melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Kuala Langat.
  • Menu Ayam Gepuk yang tidak dicair beku dengan sempurna dikenal pasti sebagai punca keracunan, melibatkan 11 pelajar yang telah menerima rawatan segera.
  • KKM menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada SK Puncak Alam 3 untuk baik pulih surau, dewan, pembelian Smartboard AI, penyaman udara dan tandas.
Advertisement

KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat kejadian keracunan makanan melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Kuala Langat, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Beliau berkata mengambil maklum berhubung kejadian itu dan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan, bagi mengelakkan keupayaan mereka terganggu bagi menduduki peperiksaan berkenaan. 

“Saya difahamkan Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan KKM telah membuat siasatan dan kita akan mendapatkan jawapan apa yang menyebabkan perkara itu berlaku. 

Advertisement

“Saya tahu suasana peperiksaan ini anak-anak kita jangan terjejas, sangat malang untuk mereka terpaksa berdepan dengan gejala kesihatan, sementara berdepan dengan peperiksaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sekolah Angkat KKM dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2026 Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3, di sini hari ini. 

Advertisement

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata menu Ayam Gepuk yang tidak melalui proses cair beku dengan sempurna, dikenal pasti sebagai punca menyebabkan sebilangan pelajar di sebuah sekolah di daerah Kuala Langat, keracunan makanan. 

Amirudin dalam kenyataan berkata bagaimanapun tindakan pantas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, telah membolehkan rawatan serta ubat-ubatan disampaikan kepada 11 pelajar.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM telah menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada SK Puncak Alam 3, bagi pelaksanaan projek membabitkan baik pulih surau, naik taraf dewan; pembelian tiga unit Smartboard AI; Pembelian 4 unit penyaman udara serta baik pulih tandas.

Beliau berkata sekolah itu dipilih berikutan kapasiti murid tinggi, sehingga beberapa bilik khas seperti bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Sains, terpaksa ditukar fungsi menjadi bilik darjah.

“Dalam pada itu ada juga projek daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menambah 12 bilik darjah…dan sekolah ini juga menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement