Ringkasan AI
- Sabah Electricity menambah petugas di pusat pengurusan panggilan (CMC) yang kini beroperasi 24 jam susulan gangguan elektrik di Pantai Timur Sabah.
- Keupayaan CMC dipertingkatkan untuk memastikan pengguna mendapat maklumat tepat mengenai catuan bekalan elektrik dan memudahkan aduan masalah bekalan.
- Sabah Electricity menyasarkan pemulihan bekalan elektrik pada 2 Disember atau lebih awal selepas insiden menara T313 tumbang akibat tanah tidak stabil.
KOTA KINABALU: Sabah Electricity menambah petugas bagi pusat pengurusan panggilan (CMC) yang kini beroperasi 24 jam, bagi membantu lebih ramai pengguna serta meningkatkan keupayaan pengendalian panggilan susulan gangguan elektrik di Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan keupayaan CMC dipertingkatkan bagi memastikan pengguna memperoleh maklumat tepat terutama berkaitan catuan dan penggiliran bekalan elektrik, selain membuat aduan tentang masalah bekalan.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan timbang rasa pengguna, terutamanya 153,599 pengguna berdaftar yang terjejas di Pantai Timur Sabah.
"Kepada anda yang terpaksa menunggu di talian, kami memohon maaf atas kesulitan tersebut," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Sabah Electricity merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau dan Angkatan Tentera Malaysia atas kerjasama serta bantuan di lokasi kerja pemulihan di Kampung Sagindai Lama, Ranau.
“Usaha pemulihan terus giat dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan petugas dan orang awam,” menurut kenyataan itu.
Kejadian menara T313 tumbang akibat tanah tidak stabil pada 6.04 pagi Khamis lepas memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah.
Sabah Electricity menyasarkan pemulihan bekalan elektrik itu pada 2 Dis atau lebih awal manakala orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-852 5427.
-- BERNAMA