BERLIN:Muzium lilin Madame Tussauds di Berlin, Jerman mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian umum sekali gus menyampaikan mesej khusus terhadap Donald Trump.

Pada Jumaat, figura bintang televisyen yang menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang siap berpakaian sut penuh itu 'dihumban' ke dalam sebuah tong sampah besar, dipercayai untuk mencerminkan senario pilihan raya presiden AS yang semakin hampir, lapor Reuters.

Dalam susun atur yang menambahkan penghinaan, patung lilin pemimpin terdahulu daripadanya, Barack Obama, serta figura Canselor Jerman Angela Merkel, didirikan berdekatan dalam gaya yang kemas serta segak.



"Aktiviti hari ini adalah suatu perlambangan watak menjelang pilihan raya di Amerika Syarikat. Kami di Madame Tussauds Berlin mengubah kedudukan patung lilin Trump sebagai langkah persediaan," ujar Pengurus Pemasaran muzium itu, Orkide Yalcindag.

Selama beberapa bulan, Trump berada di belakang pencabar Demokratik Joe Biden dalam undian pendapat umum. Itu terjadi berikutan rasa tidak puas hati banyak pihak mengenai cara pemimpin itu menanganu isu pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, data terkini menunjukkan Trump memperoleh sokongan kuat di beberapa negeri utama.

Pameran di Madame Tussauds juga memiliki figura lilin beberapa Presiden AS yang terdahulu, namun apapun keputusannya nanti dalam pilihan raya, akan menentukan 'nasib' Trump yang berada di dalam tong sampah itu.