Calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berjaya mengumpul jumlah delegasi yang mencukupi untuk mengesahkan tempatnya sebagai calon Republikan.

Menurut laporan Associated Press, Trump memperoleh 1,238 delegasi, menewaskan 16 calon parti yang lain.

Pencalonan beliau bagaimanapun akan dimuktamadkan dalam konvensyen parti pada Julai depan.

Sekiranya disahkan, Trump bakal berdepan sama ada bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton atau Senator Vermont, Bernie Sanders.


Trump, seorang hartawan New York dan taikun hartanah, sebelum ini mencabar mahu berdebat dengan Sanders sebelum pusingan pemilihan primary 7 Jun ini.

Ini disifatkan sebagai satu kejayaan signifikan kepada Trump, kerana tiada siapa menyangka beliau mampu sampai ke peringkat ini.

Ketika melancarkan kempen ke White House tahun lalu, ramai yang mempertikai kemampuan Trump.