WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin memberi amaran bahawa negara-negara yang cuba mengambil kesempatan selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif global beliau minggu lalu akan berdepan kenaikan tarif yang lebih berat.
“Mana-mana negara yang mahu ‘bermain helah’ dengan keputusan Mahkamah Agung yang tidak masuk akal itu, terutamanya negara yang telah ‘mengaut keuntungan’ daripada AS selama bertahun-tahun, malah beberapa dekad, akan dikenakan tarif yang jauh lebih tinggi — dan lebih teruk — daripada apa yang dipersetujui sebelum ini,” tulis Trump di media sosial.
Advertisement
Keputusan Mahkamah Agung itu memberi tamparan hebat kepada agenda ekonomi Trump, yang menjadikan dasar tarif termasuk keupayaannya mengenakan tarif dengan cepat sebagai elemen utama.
Buat masa ini, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, berkata, beliau menjangka rakan dagang akan “berpegang” pada perjanjian tarif yang telah dimeterai dengan Washington.
Selepas Mahkamah Agung memutuskan minggu lalu bahawa tarif khusus negara yang dikenakan Trump adalah melampaui kuasa beliau kerana menggunakan kuasa ekonomi kecemasan secara tidak wajar, Trump kemudian berpaut pada undang-undang lain untuk mengumumkan tarif baharu sebanyak 15 peratus ke atas import.
Trump juga menegaskan dalam satu lagi hantaran di Truth Social pada Isnin bahawa “sebagai Presiden, saya tidak perlu kembali kepada Kongres untuk mendapatkan kelulusan tarif.”
Beliau turut mendakwa, keputusan mahkamah itu sebenarnya memberi beliau “lebih banyak kuasa dan kekuatan,” serta membolehkan beliau menggunakan “lesen untuk melakukan perkara yang benar-benar ‘buruk’ terhadap negara asing.” - Agensi