INTERNATIONAL
Draf perjanjian pandemik global dicapai, kata WHO

WHO menegaskan keperluan mendesak terhadap kesiapsiagaan, sambil memberi amaran bahawa pandemik seterusnya bukanlah persoalan "jika", tetapi "bila". - Gambar fail/REUTERS
GENEVA: Perjanjian pandemik global yang bertujuan mengelakkan kekacauan seperti yang berlaku semasa krisis COVID-19 telah dirangka, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Cadangan itu kini akan dikemukakan kepada Perhimpunan Kesihatan Sedunia, badan pembuat keputusan WHO, pada Mei untuk pertimbangan.
WHO menegaskan keperluan mendesak terhadap kesiapsiagaan, sambil memberi amaran bahawa pandemik seterusnya bukanlah persoalan "jika", tetapi "bila".
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata negara di dunia telah "mencipta sejarah" dengan draf berkenaan."Dengan mencapai kata sepakat terhadap Perjanjian Pandemik ini, mereka bukan sahaja meletakkan asas kepada perjanjian untuk generasi akan datang bagi menjadikan dunia lebih selamat, malah telah membuktikan bahawa multilateralisme masih wujud dan berfungsi, serta dalam dunia yang terbahagi ini, negara masih mampu bekerjasama mencari titik persamaan dan respons bersama terhadap ancaman bersama."
Perjanjian itu yang mula dicadangkan pada 2021 dan sepatutnya dimuktamadkan tahun lalu, menyeru kepada sistem kesihatan global yang lebih kukuh bagi mengesan dan bertindak balas terhadap penyakit baharu dengan pantas.
Sekiranya berlaku pandemik pada masa hadapan, ia bertujuan memastikan pembangunan serta pengagihan vaksin, rawatan dan peralatan perlindungan dilakukan dengan cepat dan saksama.
Perjanjian itu hanya akan mengikat negara yang memilih untuk mengesahkannya. WHO menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sekatan pergerakan atau atau langkah lain, yang kekal di bawah bidang kuasa kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan masing-masing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami