INTERNATIONAL
Dron bukan punca nahas helikopter pemilik kelab Leicester City

Bangkai helikopter kepunyaan Vichai yang terhempas di King Power Stadium pada Ahad. - REUTERS
Dron milik polis bukan penyebab kepada tragedi helikopter terhempas yang mengorbankan pengerusi dan pemilik kelab Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha.
Polis Leicestershire berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu masih diteruskan ketika ini.
"Dron berkenaan tidak diterbangkan ketika helicopter berkenaan meninggalkan stadium.
"Ia (dron) diturunkan di parkir kereta di bahagian luar selepas pukul 7.30 malam, setengah jam selepas perlawanan itu berakhir," katanya memetik laporan Reuters, pada Isnin.
Vichai disahkan antara lima mangsa terbunuh dalam nahas helikopter di tempat letak kereta bersebelahan Stadium King Power sejurus berlepas ketika tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United, pada Ahad.
Polis turut mengesahkan mangsa lain yang terlibat dalam nahas itu adalah Izabela Roza Lechowiczas, Nursara Suknamai, Kaveporn Punpare, dan juruterbang Eric Swaffer.
Sementara itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) berkata, pihaknya telah memperoleh kotak hitam helikopter tersebut dan akan terus berada di situ selama seminggu sebelum memindahkan bangkai helikopter tersebut ke Farnborough.
"Hari ini, pegawai kami di Farnborough akan mulakan siasatan kotak hitam helikopter itu,” kata kenyataan daripada biro yang menyiasat semua kemalangan melibatkan pesawat awam di Britain.
Keluarga Vichai termasuk isteri dan anaknya tiba di stadium pada Isnin untuk meletakkan bunga sebagai penghormatan terakhir yang turut disertai ribuan peminat kelab bola sepak itu.
Ia turut disertai pemain dan kakitangan dari kelab itu.
Skuad utama kelab itu mempunyai sesi latihan pendek pada awal pagi Isnin, namun perlawanan pusingan keempat Piala Liga menentang Southhampton yang dijadualkan pada Selasa di stadium berkenaan ditangguh kerana tragedi tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami