Dron Israel serang kenderaan di selatan Lubnan, seorang maut, 11 cedera

Antara yang cedera ialah beberapa kanak-kanak sekolah yang menaiki bas dan secara kebetulan melalui kawasan itu ketika serangan berlaku. - AP
ISTANBUL: Seorang lelaki terbunuh dan 11 yang lain cedera apabila sebuah dron Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah sebuah kereta di bandar Attiri di selatan Lubnan pada pagi Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.
Antara yang cedera ialah beberapa kanak-kanak sekolah yang menaiki bas dan secara kebetulan melalui kawasan itu ketika serangan berlaku, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) yang dikendalikan kerajaan.
Serangan itu turut menyebabkan kereta berkenaan terbakar.
Pasukan pertahanan awam bertungkus lumus memadamkan kebakaran, manakala mereka yang cedera dibawa ke Hospital Salah Ghandour di Bint Jbeil.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Kem Pelarian Palestin Ain al-Hilweh di bandar Sidon, selatan Lubnan.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan anggota Hamas di dalam pusat berkenaan.
Ia turut mendakwa kemudahan yang disasarkan digunakan untuk merancang serangan terhadap Israel.
Namun kumpulan Palestin itu menafikan dakwaan Israel.
Ketegangan semakin memuncak di selatan Lubnan sejak beberapa minggu ini, dengan tentera Israel meningkatkan serangan udara hampir setiap hari di wilayah Lubnan, kononnya menyasarkan anggota dan infrastruktur Hizbullah.
Tentera Israel telah membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan hampir 17,000 yang lain dalam serangan ke atas Lubnan, yang bermula pada Oktober 2023 dan bertukar menjadi serangan berskala penuh pada September 2024.
Di bawah genjatan senjata yang diumumkan pada November 2024, tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari lalu namun hanya mengundurkan sebahagian pasukannya dan terus mengekalkan kehadiran ketenteraan di lima pos sempadan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

