Harapan untuk menyambut hari pertama Ramadan dalam keadaan damai tidak kesampaian di selatan Thailand apabila awal-awal lagi sudah dicemari dengan tindakan keganasan.

Pada tengah malam tadi berlaku kejadian pertempuran antara enam anggota polis daerah Takbai dan 10 lelaki bersenjata selama setengah jam di Jalan Taba, Mukim Jekhe, Wilayah Narathiwat.

Menurut pihak polis, kejadian tersebut menyebabkan dua anggota polis terkorban dan dua laras rifel dan dua pucuk pistol mangsa dilarikan.

Dua orang awam turut tercedera alam kejadian tersebut.

Ketua polis daerah Takbai Pol.Col. Pakdee Prichachon berkata ketika diserang hendap, keenam-enam anggota polis sedang meronda dengan tiga buah motosikal.

Beliau berkata kumpulan itu, dipercayai puak pemisah, dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu satu kumpulan menyerang polis, kumpulan kedua melakukan kawalan dan kumpulan ketiga menabur paku dan bahan-bahan lain untuk menyekat bantuan pihak keselamatan Thai.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai anggota gerakan pemisah yang aktif di kawasan Pulau Satol Takbai.

Lebih 100 orang anggota keselamatan melakukan kepungan memburu suspek dengan mengguna anjing pengesan.

Sementara itu, pada jam 7.25 pagi tadi, dua bom diletupkan di dua tempat, iaitu kawasan kilang kayu getah dan sebatang tiang elektrik tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Menurut saksi, pada jam 2 pagi, terdapat empat hingga enam orang lelaki menaiki tiga motosikal meletakkan bom di kawasan tersebut.

Umat Islam di Thailand menyambut Ramadan dan berpuasa mulai hari ini.