KUALA LUMPUR: Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement - CSA) di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Kerajaan MADANI tidak bermaksud wujudnya sebarang kerjasama politik atau pakatan pilihan raya baharu antara kedua-dua pihak.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan komitmen parti itu di bawah perjanjian berkenaan tertumpu kepada sokongan terhadap Belanjawan dan kestabilan urusan rakyat, manakala kedudukan mereka di Dewan Rakyat kekal di blok pembangkang.
Ketika ditanya pemberita sama ada persefahaman ini akan membentuk kerjasama politik atau pakatan pilihan raya (electoral pact), Muhyiddin bagaimanapun menolak andaian itu.
"Ha itu soal lain. Itu kerjasama politik itu perkara... ini pun kerjasama juga.
"Kami kekal pembangkang, saya kekal Bersatu, tapi kerana melihat situasi dan keadaan dan ada wajaran untuk kita memberikan sokongan.
"Di samping itu, ada juga bantuan dan peruntukan yang disediakan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata sokongan yang diberikan bertujuan meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat, selain membawa cadangan reformasi institusi.
"Antara perkara yang telah pun dipersetujui bersama ialah bahawa kita di peringkat Bersatu, Ahli Parlimen kita akan menyokong belanjawan yang sedang pun dibahaskan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
"Ada juga perkara-perkara yang dikaitkan dengan soal reformasi institusi, ataupun yang berkaitan dengan cadangan untuk menentukan terma Perdana Menteri untuk maksima dua penggal.
"Dan juga pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan juga... yang satu pihak lain (Pendakwa Raya)," katanya.
Majlis menandatangani memorandum tersebut melibatkan Kerajaan Persekutuan yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menyentuh mengenai pecahan wakil rakyat Bersatu yang terlibat, Muhyiddin memaklumkan beliau hanya menandatangani perjanjian tersebut bagi mewakili enam orang Ahli Parlimen parti itu, termasuk dirinya.
Sementara itu, bagi enam lagi Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini telah pun menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, penglibatan mereka menandatangani CSA disifatkan sebagai pelengkap formaliti.
"Yang sekarang tadi, yang saya sain mewakili enam, termasuk diri saya.
"Yang lain-lain itu, terutama yang sebelah kiri saya tadi, mereka lebih awal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
"Jadi disebabkan mereka dah bersetuju untuk menyokong Perdana Menteri, hari ini macam formaliti, saya fikir dia sain juga CSA itu," jelas beliau.
Menerusi perjanjian tersebut, kerajaan turut bersetuju menyalurkan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen yang setara kepada wakil rakyat terlibat, dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun, selain meneruskan komitmen terhadap agenda Bumiputera.
Muhyiddin menegaskan persefahaman ini dirangka untuk kekal berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan, namun boleh terbatal sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat oleh mana-mana pihak.