Skip to main content

Malaysia

Lelaki pandu kereta bertulis 'Bomba' hidap bipolar disorder

Hanyan menunjukkan kenderaan yang diperiksa untuk tindakan lanjut. -Gambar Sinar Harian
Hanyan menunjukkan kenderaan yang diperiksa untuk tindakan lanjut. -Gambar Sinar Harian

Advertisement

SUNGAI PETANI: Lelaki yang memandu secara melulu sebuah kenderaan persendirian menggunakan tulisan 'Bomba' sehingga tular di media sosial dikenal pasti menghidap penyakit bipolar disorder atau gangguan kesihatan mental sejak kira-kira sembilan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai menangguhkan rawatan yang perlu diambil sejak lebih kurang dua tahun lalu.

"Berikutan video tular tersebut, seorang ketua polis balai bomba Sungai Petani telah membuat aduan pada 27 Oktober lalu.

"Bertindak atas laporan ini, kita telah mengesan dan membuat penahanan di Bandar Puteri Jaya selain merampas sebuah kenderaan dipercayai milik mangsa dan beberapa barang kes lain," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan video tular membabitkan seorang lelaki dilihat membawa kenderaan pelbagai guna (MPV) warna merah menggunakan tulisan Bomba dipercayai memandu secara melulu tanpa mengambil kira pergerakan trafik kenderaan lain, seolah-olah dalam perjalanan mahu meneruskan tugasan kecemasan.

Tindakan tersebut juga menimbulkan kekeliruan orang ramai kerana lelaki terbabit dipercayai bertindak turun dari kereta dan memarahi pengguna lain yang tidak membuka laluan kepadanya.

Hanyan berkata, lelaki terbabit mempunyai lesen memandu sah itu tidak mempunyai rekod lampau jenayah dan keputusan saringan air kencing, negatif.

"Kita mohon reman pada pagi ini dan permohonan itu hanya dibenarkan selama sehari. Tangkapan ini dirawat dan ditahan di wad Hospital Sultan Abdul Halim di sini sehinggalah perkembangan siasatan lanjut.

"Saya juga ingin menasihati keluarga yang mempunyai individu menerima rawatan psikiatri agar memastikan mereka mematuhi jadual pemeriksaan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.

Menurut Hanyan, kes disiasat bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan, iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement