Skip to main content

Dunia

Dua anggota tentera AS dilaporkan hilang ketika latihan ketenteraan di Maghribi

Recent footage shows military exercises in Morocco as two US troops reported missing
Laporan awal menunjukkan anggota tentera yang terlibat dalam latihan bersama tahunan African Lion 2026 itu berkemungkinan terjatuh ke dalam laut. - Foto REUTERS

RABAT: Dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan hilang ketika menyertai latihan ketenteraan di Maghribi, menurut Komando Afrika Amerika Syarikat (Africom).

Pegawai memaklumkan, kedua-dua anggota itu kali terakhir dilihat pada Sabtu berhampiran tebing laut di sekitar Kawasan Latihan Cap Draa, berhampiran bandar Tan Tan di selatan Maghribi.

Advertisement

Laporan awal menunjukkan anggota tentera yang terlibat dalam latihan bersama tahunan African Lion 2026 itu berkemungkinan terjatuh ke dalam laut, kata seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat kepada BBC.

Africom dalam satu kenyataan berkata, misi mencari dan menyelamat yang melibatkan aset darat, udara dan maritim dari Amerika Syarikat, Maghribi serta beberapa negara lain kini sedang giat dijalankan bagi mengesan kedua-dua anggota berkenaan.

“Insiden ini masih dalam siasatan dan operasi pencarian masih diteruskan,” menurut kenyataan Africom yang dikeluarkan pada Ahad. 

“Fokus kami ketika ini adalah terhadap anggota yang terlibat serta keluarga mereka.”

Seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu BBC pihak berkuasa percaya kejadian itu merupakan satu kemalangan dan tidak melibatkan unsur keganasan atau penculikan.

Kedua-dua anggota tersebut dilaporkan hilang selepas gagal kembali ke kawasan latihan, sebelum pasukan Amerika Syarikat dan Maghribi melancarkan operasi pencarian, menurut pegawai berkenaan.

Latihan African Lion merupakan latihan bersama tahunan yang bertujuan memperkukuh keupayaan operasi antara angkatan tentera Amerika Syarikat, sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta negara-negara Afrika.

Ia merupakan latihan ketenteraan bersama tahunan terbesar di Afrika dan dianjurkan secara serentak di Maghribi, Ghana, Senegal dan Tunisia.

Latihan ini memberi tumpuan kepada operasi pelbagai domain, tindak balas krisis dan penyelarasan pelbagai negara bagi meningkatkan keselamatan serantau serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Latihan African Lion 2026 yang melibatkan kira-kira 5,000 anggota dari lebih 40 negara serta lebih 30 rakan industri berpangkalan di Amerika Syarikat itu dijadual berlangsung dari 27 April hingga 8 Mei. - Agensi

Must Watch Video